Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persembahan tanda kasih rakyat kepada raja

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Setelah Daerah Temburong, Tutong dan Belait mempersembahkan persembahan khas, kini tiba giliran Daerah Brunei dan Muara pula mengetengahkan persembahan khas yang membawa tema, Raja Berwawasan Inspirasi Kesejahteraan dan Kemakmuran Negara, bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

    Persembahan khas berkenaan mengetengahkan format yang menggabungkan elemen-elemen fusion kontemporari iaitu gabungan muzik dan tarian tradisional, pop dan gerak isyarat tangan.

    Seramai 200 peserta terlibat dalam persembahan yang terdiri daripada belia Brunei Darussalam serta para pelajar dari sekolah menengah atas dan sekolah rendah di mana persembahan dibahagikan kepada tiga segmen yang berbeza dan keseluruhan tempoh selama 18 minit.

    Bagi segmen pertama, persembahan melibatkan 40 belia yang menggunakan gerak isyarat tangan untuk membentuk tanda cinta, yang melambangkan kecintaan dan penghormatan rakyat terhadap raja yang amat dihormati.

    Selain itu, mereka juga membentuk angka 79 menggunakan gerak isyarat tangan yang merujuk kepada usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai tanda penghargaan dan penghormatan terhadap Baginda pada usia 79 tahun.

    ATAS & BAWAH : Persembahan yang menggabungkan elemen-elemen fusion kontemporari iaitu gabungan muzik dan tarian tradisional, pop dan gerak isyarat tangan semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat dan penduduk di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Di segmen kedua, persembahan merupakan satu bentuk penghormatan dan tanda kasih sayang rakyat kepada raja yang sangat dihormati.

    Ia menggambarkan kerjasama dan perpaduan belia Brunei yang bersatu dalam menjana keharmonian dan perpaduan negara di bawah kepimpinan raja yang bijaksana, yang menjadi tonggak utama negara.

    Persembahan yang ceria itu bertujuan untuk menunjukkan kegembiraan dan kesyukuran rakyat Brunei dalam menyambut hari keputeraan raja yang dikasihi, yang dihormati dan dipandang mulia oleh setiap lapisan rakyat di seluruh negara.

    Bagi segmen ketiga, persembahan lagu Sembah Tahniah pada Hari Keputeraan menggambarkan rasa syukur rakyat Brunei kepada raja sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda.

    Lagu itu juga menggambarkan doa dan harapan rakyat di mana mereka mendoakan supaya Baginda Sultan dan kerabat Baginda sentiasa dilimpahi rahmat dan kebahagiaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda