Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persembahan tarian di Kuching cuba cipta rekod baharu

    KUCHING, 15 MEI – Kelab Rotary Kuching dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyasarkan untuk mencipta rekod baharu Malaysia bagi persembahan tarian berkoreografi Ahad ini di Kuching Waterfront di sini.

    Dijadualkan bermula pada jam 8:30 pagi, acara ini akan menyaksikan penyertaan sekurang-kurangnya 1,000 orang penari dalam percubaan untuk disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi’.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengumumkan acara itu pada sidang media di sini hari ini berkata selain rakyat Sarawak, penari dari luar negeri juga akan mengambil bahagian dengan mengenakan pakaian tradisional mereka untuk mempersembahkan tarian berkoreografi.

    “Ia adalah sambutan warisan budaya global dan juga warisan budaya Malaysia yang unik.

    “Sarawak sendiri mempunyai sekurang-kurangnya 34 kumpulan etnik yang berbeza, masing-masing menyumbang kepada warna-warni kehidupan yang menjadikan negeri ini begitu istimewa.

    “Kami adalah bukti terhadap keindahan hidup dalam kepelbagaian budaya,” katanya.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah dijemput untuk menghadiri persembahan itu, tambah beliau. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda