GUADALAJAR, MEXICO, 25 OGOS – Hampir 900 peserta mengikut rentak muzik Mariachi di bandar Guadalajara, Mexico untuk mencipta rekod Guinness bagi tarian rakyat terbesar di dunia.
Kepanasan membahang gagal menghambat semangat 882 peserta lelaki dan wanita yang menyarungkan kostum tradisional bercirikan warna-warna terang dan sulaman rumit untuk memecahkan rekod sebelumnya, juga diadakan di Guadalajara pada tahun 2011 dengan 457 peserta.
“Rekod baharu ini menunjukkan tradisi kami terus dikembangkan dan diwarisi dalam kalangan belia,” kata Xavier Orendain, presiden Dewan Perniagaan Guadalajara dan penganjur acara, memberitahu para wartawan.
Para penari diperlukan untuk mempersembahkan koreografer rutin kira-kira lima minit tanpa gangguan untuk melayakkan rekod tersebut, kata hakim Guinness, Carlos Tapia.
Pakaian mereka juga diambil kira, tambahnya, dengan penari lelaki memakai sut ‘charro’ bercirikan topi dan tali leher, sementara para wanita memakai pakaian terang, bersama barangan kemas dan reben di rambut mereka. Pada penghujung acara, para penari berteriak kegembiraan setelah diumumkan berjaya memecah rekod Guinness. – AFP
