Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 30 JULAI – Persembahan khas berkonsepkan Raja Berdaulat Lagi Terhormat oleh gabungan pelajar sekolah-sekolah rendah, sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta serta belia seramai lebih 300 orang telah mewarnai suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Belait yang berlangsung di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait, hari ini.
Menyentuh mengenai huraian konsep persembahan khas bagi daerah yang diberikan penghormatan sebagai daerah terakhir dan penutup tirai bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun itu berkisar antaranya gambaran kepimpinan yang diterajui oleh Baginda Sultan yang selama ini telah mewujudkan perpaduan rakyat dan penduduk di negara ini iaitu kesetiaan kepada sultan dan negara, keyakinan terhadap nilai-nilai Islam dan keharmonian sosial dan keindahan amalan tradisi.
Menerusi persembahan khas berkenaan turut menjelaskan bahawa Baginda Sultan telah merealisasikan wawasan negara dengan terlaksananya pelbagai kemajuan dalam membentuk rakyat atau bangsa yang beragama, berpendidikan dan negara yang mempunyai kestabilan ekonomi serta pembangunan sekali gus menjadikan Negara Brunei Darussalam dikenali serta dihormati di serata dunia.
Begitu juga, ia menggambarkan rakyat dan penduduk bersatu padu dalam mendukung wawasan Baginda Sultan, mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara serta yakin terhadap ajaran-ajaran dan nilai-nilai Islam.
Rakyat dan penduduk juga bersatu dalam mengekalkan keharmonian sosial, hidup aman damai, selamat dan sejahtera dengan mengamalkan tradisi berbaik-baik dalam kalangan rakyat dan penduduk, di peringkat negara, serantau dan antarabangsa.
Manakala corak persembahan khas berkenaan merangkumi gerak laku formasi dan tarian kontemporari yang diiringi muzik latar kontemporari dan juga sebuah lagu yang digubah sesuai dengan tema persembahan khas.
Persembahan selama 15 minit itu telah dibahagikan kepada tiga segmen.
Segmen pertama sebagai pembuka acara bagi menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dengan adanya satu persembahan gerak laku kontemporari berdasarkan kesopanan dan formasi yang dibentuk melambangkan rakyat menyambut keberangkatan dan mendaulatkan raja yang dihormati dan disayangi.
Seterusnya segmen kedua pula menampilkan persembahan perpaduan rakyat dalam pelbagai tarian asli yang menggambarkan generasi berwawasan yang bersemangat, cergas, cerdas, aktif, proaktif, berjiwa besar, progresif dan dinamik dalam mendukung kepimpinan raja serta merealisasikan hasrat dan wawasan Baginda. Pelbagai variasi tarian asli yang dipersembahkan melambangkan keharmonian sosial, kesetiaan dan keyakinan rakyat dalam mendukung wawasan negara.
Sementara itu, segmen ketiga telah mengetengahkan konsep persembahan menggambarkan rakyat Negara Brunei Darussalam khususnya dari Daerah Belait yang gembira meraikan hari keputeraan seorang raja yang berdaulat lagi terhormat sekali gus menerapkan kombinasi persembahan daripada segmen pertama dan kedua.