Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Pelbagai isu telah dibincangkan semasa lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Negara Brunei Darussalam sejak pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November 2022.
Semasa sesi temu bual ekslusif bersama Media Permata petang tadi, TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kepentingan lawatan pada kali ini yang antaranya menyentuh mengenai perbincangan dua hala antara dua negara sahabat.
Perdana Menteri Malaysia tersebut menzahirkan perasaan terharunya dan terkesan kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkali-kali bertitah meng-anggapnya sebagai sahabat peribadi, dan sahabat keluarga dan seterusnya benar-benar ingin mengangkat bentuk kerjasama antara dua negara ini ke suatu tahap yang lebih tinggi.
“Kita cerakinkan beberapa isu termasuk persempadanan, pelaburan dan BIA ke Malaysia dan sebaliknya, kemudian isu kebudayaan, pendidikan, kemudahan di Malaysia dan juga kemudahan di Brunei seterusnya tentang Islam, isu budaya kerana saya tekankan bahawa Brunei ini mempunyai kedudukan bukan saja dua hala tetapi juga secara budaya, tanah Melayu Islam, jadi hal-hal ini harus kita manfaatkan untuk mempereratkan hubungan,” jelas Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu lagi.
Mengulas mengenai peluang pelaburan Malaysia di Negara Brunei Darussalam yang harus diterokai serta dipertingkatkan, Tuan Yang Terutama menjelaskan bahawa kerjasama bersama Brunei sudah setentunya adalah dari segi sektor minyak dan gas, pelancongan, hijau, dan juga industri sekuriti makanan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P4-1Anwar-4_26012023.jpg)
“Selain itu bidang-bidang yang sama-sama baru diterokai seperti IT dan digital, itu harus kita dapat lakukan dan sebahagian ada saya lihat memang ada secara permulaan pelaburan Malaysia di sini.
“Untuk Brunei, BIA itu sebagai satu badan perniagaan yang mempunyai keterampilan tertentu, kemahiran untuk menentukan sendiri sama ada bidang yang saya sebutkan tadi, digital, keselamatan makanan, perkhidmatan, konstruksi atau hartanah, itu tentunya merupakan ruang luas yang akan ditentukan oleh BIA,” tambah Tuan Yang Terutama.
Menyentuh mengenai sama ada konsep yang baru diperkenalkan Perdana Menteri Malaysia itu yang dikenali sebagai Malaysia Madani, dapat memperkukuhkan dan mempereratkan lagi hubungan Malaysia dengan negara asing termasuk dengan Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama menjelaskan bahawa keistimewaan Madani adalah ia bukan sahaja menekankan keutamaan ekonomi sebagai resam hidup tapi ia juga menekankan soal ihsan, soal rahmah, soal kemanusiaan dan tentunya mencakup apa yang ditekankannya sebagai usaha memperkasakan budaya.
“Kita berasal daripada budaya yang agak sama, jadi dalam konteks pemahaman negara atau masyarakat Madani tentunya ada kelebihan di situ,” jelasnya.
Tuan Yang Terutama juga terharu kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyentuh mengenai konsep Madani tersebut.
Semasa temu bual ekslusif yang berlangsung di The Empire Brunei tersebut, Tuan Yang Terutama turut mengongsikan pandangannya terhadap pembinaan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.
Kedudukan Kalimantan yang sangat dekat dengan Brunei, Sarawak dan Sabah akan menjadi pelaburan yang cukup besar, meskipun ia masih terlalu awal untuk dipastikan, tetapi sudah semestinya ia akan membawa pertumbuhan di rantau ini khususnya di Kalimantan.
Oleh itu, jelasnya, adalah penting bagi Negara Brunei Darussalam, Sarawak dan Sabah untuk mempergunakan dengan sebaik mungkin akan peluang baharu yang ada ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia adalah bertanggungjawab untuk memberikan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti bidang yang boleh diteroka untuk dikolaborasi bersama dalam pelbagai sektor.