Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persepsi negatif terhadap tenaga nuklear perlu dibetulkan

    KOTA KINABALU, 18 OGOS – Persepsi negatif masyarakat terhadap teknologi nuklear yang sering dikaitkan dengan isu keselamatan dan kesan buruk terhadap kesihatan serta alam sekitar perlu diperbetulkan bagi memastikan industri berkenaan berkembang maju di negara ini.

    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, industri, akademia dan pertubuhan profesional diperlukan untuk membetulkan persepsi berkenaan dengan pendekatan komunikasi inklusif, telus dan berasaskan fakta sains.

    “Persepsi masyarakat terhadap teknologi nuklear masih menjadi antara cabaran utama dalam usaha negara memajukan bidang ini. Teknologi nuklear telah terbukti membawa pelbagai manfaat, namun kekhuatiran terhadap aspek keselamatan dan risiko radiasi masih menebal dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 edisi ke-28, hari ini.

    Kementerian melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) giat melaksanakan program kesedaran, pendidikan, kerjasama strategik dan penyertaan dalam forum ilmiah kebangsaan dan antarabangsa.

    Datuk Mohammad Yusof Apdal (tengah) ketika menghadiri Majlis Penutupan Mesyuarat Tahunan Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) ke-12, baru-baru ini. – Bernama

    “Dengan pendekatan holistik dan komunikasi berkesan, saya percaya masyarakat akan menerima teknologi nuklear sebagai aset strategik negara sekiranya dikendalikan secara beretika dan selamat,” katanya.

    Mohammad Yusof berkata dalam era teknologi moden pada masa ini, penggunaan sumber radiasi tidak dapat dielakkan sama ada dalam sektor perubatan, pertanian, industri, penyelidikan mahupun keselamatan negara.

    “Perlindungan sinaran menjadi teras utama dalam memastikan setiap aplikasi teknologi dikawal selia secara selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia serta alam sekitar, seperti ditekankan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) … ,” katanya.

    Mengulas mengenai persidangan itu, beliau berkata Malaysia memperkukuh peranannya dalam agenda keselamatan teknologi sinaran pada peringkat serantau menerusi penganjuran persidangan berkenaan membawa tema Global Energy Security Through Radiation Safety: Balancing Growth and Protection, menekankan keselamatan sinaran asas utama menjamin kelestarian dan daya tahan tenaga global. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda