Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Bersempena dengan Majlis Kongres dan Konferensi Global Royal Institution ke-14, Pameran Poster Penyampaian Kertas Penyelidikan telah dirasmikan semasa acara Kolokium Penyelidikan Antarabangsa di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.
Pemotongan reben bagi merasmikan pameran berkenaan telah diketuai oleh Presiden University of Batangas, Filipina, Dr Hernando B. Perez dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada pembentang poster kertas penyelidikan.
Pengarah Urusan Pakar Tenaga Bersatu (PTB), Pengiran Hishamuddin Alli bin Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyentuh mengenai situasi dunia pada masa ini dihujani dengan istilah seperti Revolusi Perindustrian 4.0, globalisasi, digitalisasi, Artificial Intelligence (AI), dan ekonomi tanpa sempadan.
“Ia menjadi jelas bahawa tema majlis ini ‘Kepimpinan Global dan Kesannya terhadap Pembangunan Mampan’ adalah relevan sekarang,” tekannya.

“Dengan perkembangan pesat dalam AI, automasi dan digitisasi, bagaimana kita berfikir dan bagaimana kita melakukan sesuatu secara tradisional perlu diubah. Ini adalah sebahagian daripada apa yang menjadikan Revolusi Perindustrian 4.0 kedua-duanya mencabar dan menarik,” tambahnya.
Semasa penyampaian kertas penyelidikan, salah satu daripada 20 kertas kajian bertajuk ‘Developing a Digital Culture, Capacity, and Mindset’ telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty.
Menyentuh mengenai budaya digital, beliau berkata bahawa adalah ideal untuk mempersiapkan diri dengan perkembangan era digital dan perubahan transformasi industri ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty menjelaskan bahawa budaya digital telah mengubah cara hidup, cara bekerja, cara bermain, dan juga bagaimana bersosial.
Mengenai perubahan transformasi industri, beliau menekankan bahawa kerajaan perlu memasukkan inovasi dalam pendidikan, sambil menambah bahawa negara tidak dapat mewujudkan pekerjaan hanya untuk hari ini tetapi perlu memikirkan pekerjaan untuk pada masa akan datang.
“Untuk mendapatkan bakat dan kemahiran baharu yang dibawa oleh gangguan model perniagaan prospektif ini, syarikat perlu meneruskan pelbagai strategi tenaga kerja inovatif yang menyediakan pekerja dengan pendedahan yang lebih luas kepada peranan di seluruh firma mereka,” tambahnya.
Majlis Kongres dan Konferensi Global Royal Institution ke-14 akan diteruskan lagi esok bagi permulaan Kongres Global manakala itu, penyampaian pensijilan dan penyerahan poster akan diadakan di Hotel Star Lodge pada 28 Februari.