Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang terpilih melanjutkan pengajian ke institusi-institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS) bakal ditawarkan pelbagai bidang pengajian termasuk pentadbiran perniagaan, kewangan, kejuruteraan, farmasi, muzik, perfileman dan sains komputer.
Pelajar-pelajar berkenaan merupakan pemimpin, saintis, ahli akademik dan artis generasi akan datang yang akan memastikan masa depan yang lebih cerah bagi Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu di antara yang dinyatakan oleh Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Daniel K. Lee dalam kata alu-aluannya di Majlis Taklimat dan Orientasi Pra-Perlepasan EducationUSA yang berlangsung di D’Anggerek Serviced Apartment, hari ini.
Jelas beliau lagi, majlis taklimat dan orientasi itu bermatlamat untuk menyediakan maklumat yang penting bagi pelajar-pelajar yang ingin untuk belajar serta menetap di AS serta untuk merebut peluang berkenaan bagi mempersiapkan diri bagi meneruskan pengajian mereka di AS nanti.
Beliau turut menyeru mereka untuk menjadi duta-duta bagi Brunei untuk mewakili negara di AS serta menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warga global dan cendekiawan yang baik.
Pelajar-pelajar dari Brunei akan melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi di AS termasuk Berklee School of Music, Brown University, Cornell University, Los Angeles College of Music, New York University, Orange Coast Community College, Rice University, SUNY-Stony Brook, Temple University, the University of Hawaii dan Wright State University.
Semasa orientasi itu, para pelajar dan ibu bapa berpeluang untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar Brunei yang sedang melanjutkan pengajian mereka di AS serta ahli-ahli Persatuan Brunei-AS (BUSA) di mana mereka menawarkan para pelajar baharu serta ibu bapa tip mengenai cara untuk mempersiapkan diri mereka bagi pengajian di AS, pergaulan sosial serta suasana budaya.
Semasa sesi orientasi berkenaan juga, wakil daripada Bahagian Konsulat Kedutaan AS memberikan taklimat mengenai permohonan visa pelajar dan memberikan tip mengenai perjalanan dan perkara yang perlu dibuat apabila tiba di AS.
