Jumaat, 21 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiap diri sebelum ajal menjemput

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kehidupan di dunia hanyalah sementara dan akhirat juga tempat yang kekal abadi, kematian merupakan satu kepastian bagi setiap insan yang bernyawa di mana Allah SWT telah menyatakan di dalam Al-Quran secara jelas, kematian itu akan datang kepada manusia.

    Allah SWT juga telah menentukan ajal sejak azali lagi, apabila sampai ajalnya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat.

    Khatib menegaskan perkara ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘ Mati itu Pasti’ dan seterusnya menjelaskan, Malaikat Izrail yang ditugaskan mencabut nyawa akan menjalankan tugasnya tanpa mengira masa, tempat dan keadaan seseorang.

    Katanya lagi, “apabila nyawa berada di kerongkong, segala pintu taubat telah di tutup dan penyesalan tidak lagi berguna”.

    Dalam Islam kita disunatkan untuk memperbanyakkan mengingati mati, kerana mengingati mati mempunyai banyak kelebihan antaranya dapat menimbulkan keinsafan dalam jiwa seterusnya menjadikan seseorang semakin tekun beribadah kepada Allah SWT dan meninggalkan apa juga perbuatan mungkar serta dosa, dan mereka inilah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai orang yang bijak.

    “Kematian adalah perkara yang sangat besar dan dahsyat serta menakutkan, dan dengan merenungkan pasti dapat membuat manusia menjauhi diri daripada kealpaan dunia, tidak banyak bersenang-senang dan mendorongnya untuk segera bersiap-siap menghadapi kematian,” tegasnya.

    Sunat untuk memperbanyakkan mengingati mati, kerana mengingati mati mempunyai banyak kelebihan. – GAMBAR UNSPLASH

    Kematian adalah pemutus yang memisahkan manusia daripada kehidupan, meninggalkan segala yang dimiliki, tiada harta dan tiada teman, dibalut dengan kain putih dan tinggallah mereka itu di dalam tanah yang penuh dengan kegelapan dan bersendirian.

    Kematian boleh datang menjemput pada bila-bila masa, entah esok atau lusa, tiada siapa yang tahun kecuali Allah SWT.

    “Jangan sangka dengan kesihatan yang baik, umur masih muda maka ajal itu belum akan tiba. Berapa ramai orang yang kita kenal telah meninggal dunia, ada yang meninggal di dunia kerana sakit, ada yang meninggal dunia kerana kemalangan, ada yang meninggal dunia dalam tidur, bahkan ada yang meninggal ketika masih muda usianya”.

    “Jangan lalai dengan dunia, leka dengan kesenangan, akan tetapi sentiasalah mengingati mati, segeralah bertaubat kepada Allah SWT sebelum terlambat, sebelum ajal datang menjemput,” ujar Khatib.

    Terdapat berbagai-bagai langkah yang boleh dilakukan untuk mengingati mati agar berkesan di dalam hati sehingga menjadi mukmin yang lebih beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

    Ini antaranya dengan muhasabah diri, membayangkan saat kematian, membayangkan keadaan diri apabila berada di dalam kubur, membayangkan seksaan dan azab ketika di dalam kubur, membaca kisah-kisah atau cerita berkaitan dengan kematian selain menziarahi kubur dan sebagainya.

    Semua ini adalah sebagai ‘ibrah’ bahawa dunia adalah sementara, menghilangkan rasa kesombongan serta melembutkan hati yang keras, lalai dan merasa dunia itu tiada penghujungnya.

    Memperbanyakkan amalan sunat seperti berzikir, berdoa, bersedekah serta menjauhi daripada perbuatan yang dilarang dan berdosa. – GAMBAR UNSPLASH

    Selain itu sentiasa berdoa semoga mendapat Husnul Khotimah iaitu pengakhiran yang baik dan semoga dijauhkan dari Su’ul Khotimah iaitu pengakhiran yang buruk di mana orang mukmin yang mendapat Husnul Khotimah amatlah beruntung.

    Kerana itu terdapat doa yang indah untuk diamalkan supaya kita dimatikan dalam keadaan Husnul Khotimah.

    “Ajal datang tanpa amaran, tanpa mengira waktu dan usia, oleh itu berusahalah untuk menjadi umat Islam yang beriman dan bertakwa dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, melaksanakan perintahnya dengan ikhlas dan sempurna seperti sembahyang, zakat dan sebagainya”.

    Memperbanyakkan amalan yang sunat seperti berzikir, berdoa, bersedekah dan sebagainya serta menjauhi daripada perbuatan yang dilarang dan berdosa.

    Di akhir khutbah, Khatib mengingatkan untuk sama-sama berdoa semoga hidup kita dan keluarga terhindar dari kelalaian dan kemaksiatan dan semoga mendapat Husnul Khotimah dan amal ibadat diterima oleh Allah SWT.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda