Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Seramai 167 pelajar termasuk ibu bapa dan guru-guru Tahun 6 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini menghadiri Majlis Solat Sunat Hajat, Membaca Surah Yasin dan Ceramah Motivasi.
Majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah YSHHB itu dihasratkan dapat menambah semangat dan memberikan kesedaran akan pentingnya membuat persiapan diri dari segi emosi dan mental pelajar calon Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2023.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi. Ceramah motivasi disampaikan oleh Pengarah Syarikat BeManfaat Management & Services, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.
Ceramah dihasratkan untuk memberikan dorongan dan galakan kepada pelajar supaya berusaha lebih gigih dalam mengulang kaji pelajaran seterusnya meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi.
Menerusi perkongsian daripada ceramah itu juga diharap ibu bapa akan menjadi penyokong terbesar dan terdekat bagi anak-anak selain dapat memberikan kesedaran kepada pelajar akan pengorbanan ibu bapa yang mendidik mereka sejak kecil lagi.



