Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Sebagai kesinambungan daripada Program Akar Umbi bersama Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung pada tahun lalu, Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini memperkenalkan inisiatif baharu untuk para pencari kerja agar lebih siap sedia dalam menempuh alam pekerjaan melalui Program Persediaan Pekerjaan yang akan diadakan di setiap daerah.
Program itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing dalam pasaran kerja melalui bengkel dan aktiviti team-building yang menarik. Pendekatan tersebut diharap dapat mengasah kemahiran asas yang penting seperti kepimpinan, semangat kerjasama berpasukan dan komunikasi profesional.
Para peserta yang berminat mengikuti program ini berpeluang memahami secara lebih dekat keperluan dan cabaran dalam pasaran kerja, di samping membina keyakinan diri melalui bimbingan praktikal berkaitan dengan Latihan Komunikasi dan Kemahiran Insaniah, Penyediaan CV dan Persediaan Temuduga yang akan disampaikan oleh Jurulatih Bertauliah Kerjaya dari Pusat Pekerjaan Brunei dengan kerjasama pakar-pakar dari syarikat-syarikat pembekal latihan yang terpilih melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Program selama satu hari yang akan diadakan pada 29 April di Dewan Utama Kompleks Kemasyarakatan, Daerah Tutong itu dirancang akan dilaratkan ke daerah-daerah lain pada setiap bulan.
Pendaftaran bagi mengikuti program ini dibuka kepada orang awam, khususnya penduduk di Daerah Tutong. Permohonan boleh dibuat melalui pautan linktr.ee/PPBcareer atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan.
