Oleh Ak Zaki Kasharan
Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level merupakan antara peperiksaan besar yang begitu mencabar setiap pelajar di mana tanpa usaha dan strategi pembelajaran yang baik seseorang itu pasti akan menghadapi kesukaran.
Pelbagai tips juga telah diberikan kepada para pelajar menjelangnya peperiksaan besar yang akan mereka hadapi namun akhirnya segalanya terpulang kepada diri masing-masing untuk mempraktikkannya ke dalam hidup dan cara pembelajaran mereka sendiri.
Pada 30 Mac 2023, para pelajar di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan BC GCE ‘O’ Level telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang di sekolah tersebut.
Salah seorang pelajar terbaik yang diraikan ketika ditemui Media Permata, Dayang Farahiyah binti Awang Abdul Gapar menzahirkan rasa syukur atas pencapaian yang diperolehinya sekali gus mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua orang tua dan guru-guru yang banyak mendorongnya semasa menuntut di SM YSHHB.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa saya kerana memudahkan saya belajar dan membantu saya membuat kerja rumah. Sokongan dan doa mereka akan sentiasa menjadi tunjang kejayaan saya.
“Alhamdulillah, walaupun ragu-ragu dengan subjek tertentu, saya masih berjaya mendapat keputusan cemerlang. Ini tidak akan berlaku tanpa jerih payah guru mata pelajaran saya, Cikgu Afiq, guru kelas saya dari Tahun 9 yang sentiasa memastikan saya dalam keadaan baik, Cikgu Chak yang menyediakan nota berwarna-warni untuk kami, Cikgu Airul yang sentiasa membenarkan kami berbincang dengan rakan-rakan, Cikgu Nancy yang mengenali saya, Cikgu Irene yang telah mengajar saya sejak Tahun 7 dan membantu saya meningkatkan Bahasa Inggeris saya dari gred C ke A, Cikgu Zamany yang tegas namun masih boleh membuat kami ketawa dalam setiap pelajaran, Cikgu Amal yang membuat kelas meriah dan menyeronokkan, Cikgu Ashrul yang sentiasa melatih kami penghafalan dan Cikgu Wani yang menjadikan Geografi lebih menarik untuk kami pelajari.
“Tidak lupa juga, Cikgu Chitra, Cikgu Iman dan guru kesayangan saya di peringkat menengah bawah, terima kasih atas kesabaran awda dalam menangani kenaifan saya,” jelas Dayang Farahiyah.
Di samping itu beliau juga berterima kasih kepada guru kelas tuisyennya, Brian Idris yang banyak membantu dalam akademiknya, ia menjadikan segala yang dipelajarinya menjadi mudah untuk difahami dan memberikan banyak sumber rujukan serta mengajar cara yang efektif untuk menghafal segala material yang diajarkan.
Dayang Farahiyah yang berjaya memperolehi keputusan semua gred A termasuk 3 gred A dalam peperiksaan BC GCE ‘O’ Level yang lalu kini telah melanjutkan pengajiannya dalam Tingkatan Enam di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dengan mengambil mata pelajaran biologi, fizik, kimia dan matematik.
“Rutin harian saya sejujurnya tidak begitu konsisten meskipun saya merancangnya lebih awal, namun ada kalanya saya tidak mengikutnya. Bagi saya kemungkinan utama saya mendapatkan keputusan yang baik ini adalah kerana saya secara konsisten berdoa kepada Allah SWT, menunaikan sembahyang, khususnya sembahyang sunat tahajud dan memperbanyakkan mengajukan soalan kepada guru jika terdapatnya sebarang persoalan meskipun berasa malu.
“Bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan ‘O’ Level, adalah dinasihatkan untuk belajar lebih awal bagi mengelakkan kepanikan pada saat akhir serta sentiasa fokus kepada pelajaran,” nasihat Dayang Farahiyah lagi.
Sementara itu seorang lagi pelajar cemerlang yang diraikan pada majlis yang sama, Awang Muhammad Haziq bin Haji Muhammad Wenny ketika ditemui mengongsikan kejayaannya mendapatkan 8 A dan 1 kepujian dalam peperiksaan ‘O’ Level yang lalu ialah dengan memastikan dirinya sentiasa berasa di bawah tekanan meskipun mengakui tidak membuat ulang kaji dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa.
“Walau apa pun saya ingin berterima kasih kepada guru-guru yang pernah mengajar saya kerana setiap seorang daripada mereka telah banyak berjasa mendidik saya sehingga saya mendapatkan keputusan yang cemerlang ini.
“Pada masa yang sama saya juga mengucapkan penghargaan kepada orang tua saya kerana telah memberi saya peluang belajar dengan cara yang saya selesa dan tidak begitu memaksa serta memberikan tekanan kepada saya sehingga saya berasa lebih tenang menghadapi peperiksaan,” jelas Awang Muhammad Haziq.
Beliau pada masa yang sama turut memberikan nasihat kepada para pelajar lainnya untuk belajar dengan tahap kemampuan sendiri dan tidak terlalu berlebihan memikirkan sesuatu perkara sehingga dapat memberikan tekanan berlebihan kepada diri sendiri.