Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Unit Perkhidmatan Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya bersama Persatuan Alumni UNISSA, baru-baru ini, telah menganjurkan Taklimat Kerjaya bagi bakal graduan yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Auditorium, UNISSA.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, program bengkel tersebut bertujuan untuk membekalkan para bakal graduan dengan pengetahuan asas mengenai persiapan menghadapi temu duga serta mengongsikan tip-tip apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas menghadiri temu duga.
Bengkel itu juga memberikan gambaran awal mengenai bidang keusahawanan yang boleh diceburi di samping tawaran-tawaran pekerjaan yang dibukakan oleh syarikat swasta.
Dalam program tersebut, empat bakal graduan UNISSA telah ditawarkan sebagai pelatih di Tetuan Peguam Syarie Al Wady dan Al Wady Consultant Services.
Penyerahan surat tawaran telah disempurnakan oleh Peguam Syarie Kanan Al Wady, Haji Suhaili bin Haji Momin yang merupakan Alumni UNISSA dengan disaksikan oleh Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.
Keistimewaan tawaran yang diberikan termasuk perbelanjaan latihan dalaman dan luaran serta penempatan, chambering, sijil peguam dan amalan guaman serta mana-mana latihan luaran akan ditanggung oleh firma dan syarikat.
Tawaran pekerjaan tetap akan diberikan selepas pelatih menghabiskan latihan selama setahun atau setahun dan enam bulan.
UNISSA dalam kenyataan melahirkan rasa amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh beberapa buah institusi dan organisasi yang turut terlibat bagi menjayakan taklimat kerjaya tersebut antaranya Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kementerian Pendidikan, JobCentre Brunei, Unit Dasar dan Perancangan Sumber Tenaga Manusia (MPPU), Tetuan Peguam Syarie Al Wady, Curious Mind, PEKA Consultant dan Bank Islam Brunei Darussalam.