Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapan diri penting

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Seramai 136 orang calon Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) di Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing telah menyertai solat sunat Hajat berjemaah dan mendengarkan ceramah motivasi yang diadakan di dewan sekolah itu kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) YSHHB, Dr Juraidah binti Haji Musa.

    Salah seorang calon PSR tahun ini ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil, pelajar Tahun 6 Mercury. Ceramah motivasi pada majlis itu telah disampaikan oleh Ketua Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA) di Pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusof bin Haji Majid.

    Solat Sunat Hajat berkenaan antara lain diadakan untuk menyuntik semangat calon PSR 2019 seterusnya memberi kesedaran kepada mereka akan pentingnya membuat persiapan diri dari segi emosi dan mental.

    Sementara itu, ceramah motivasi pula adalah satu pendekatan yang difikirkan berkesan dalam menyampaikan maklumat bermakna kepada ibu bapa dan pelajar calon PSR di mana perkongsian berkenaan juga akan memberi panduan dan kesedaran ibu bapa dan penjaga dalam usaha memberi anak-anak sokongan, bantuan dan dorongan yang tidak putus-putus dengan cara yang efektif dan berkesan.

    Dengan adanya ceramah motivasi berkenaan juga dapat menyuntik semangat antara satu sama lain bagi mengubah sikap, sahsiah dan dalam hal berkaitan peranan dan tanggungjawab masing-masing di sekolah dan di rumah.

    YAM Pengiran Anak ‘Abdul Hafeez antara pelajar calon PSR yang mendengarkan ceramah motivasi yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda