Thursday, July 4, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Persiapan istiadat pertabalan Agong pada peringkat akhir

    KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Berbaki 19 hari lagi, Malaysia bakal melakar detik bersejarah dalam sistem Raja Berperlembagaan dan semua mata akan tertumpu pada istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

    Bakal berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 20 Julai ini, segala persiapan diatur rapi dan teliti untuk memastikan istiadat yang akan menonjolkan keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia berlangsung sempurna kerana ia bukan sahaja menjadi tumpuan rakyat tempatan, malahan juga masyarakat luar negara.

    Berkongsi mengenai persiapan, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata kerja-kerja persiapan bermula sejak enam bulan lepas dan ketika ini, semuanya berada pada peringkat akhir atau kira-kira 93 peratus dengan fokus sekarang ialah memastikan lokasi istiadat pertabalan, selain sekitar Istana Negara dalam keadaan baik.

    “Negara kita dibina dengan peradaban begitu kukuh dan sejarah yang gemilang menerusi sistem Raja Berperlembagaan dan sejak negara kita merdeka sehingga kini, kita tidak putus merayakan istiadat yang begitu penting iaitu pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

    “Tentunya untuk satu istiadat yang begitu gilang-gemilang dan bersejarah ini, persiapannya memang mengambil masa yang lama, kita telah mulakan dari awal iaitu sebaik Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan pada 31 Januari lepas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Azuan Effendy berkata menerusi istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Malaysia dapat mempertontonkan kepada dunia identiti Kesultanan Melayu, selain menonjolkan keunikan dimiliki kerana merupakan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan secara penggiliran. – Bernama

    Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini ketika ditemu ramah, baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...