Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 2 Nov – Seramai 596 orang pelajar Darjah 6 dari 11 buah sebuah sekolah agama Daerah Belait akan menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) dalam masa kira-kira dua minggu lagi.
Sebagai persiapan menghadapi peperiksaan tersebut, beberapa usaha telah dilakukan bersama oleh kalangan guru-guru, para pelajar dan juga ibu bapa masing-masing sejak awal lagi.
Beberapa orang guru Darjah 6 Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, semasa di temui Media Permata hari ini, menjelaskan antara yang dilakukan adalah menghabiskan sukatan pelajaran Darjah 6, seterusnya mengadakan ulang kaji dalam kelas serta membuat latihan secara berulang kali bagi membiasakan para pelajar supaya mempunyai keyakinan diri dalam menjawab soalan-soalan.
Dayangku Norlela binti Pengiran Haji Matassan yang telah mengajar pelajar Darjah 6 selama 20 tahun berkata lagi, peperiksaan penilaian turut diadakan bagi persiapan menuju ke peperiksaan besar SSSRU.
Menurutnya lagi, sejak bermulanya penggal kedua pada Mac lalu pihak sekolah juga telah mengadakan kelas tambahan bagi pelajar berkenaan pada sebelah petang selama setengah jam daripada jam 5 hingga 5:30 petang pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P12-E_031117.jpg)
Kelas tambahan akan terus diadakan semasa para pelajar menduduki peperiksaan, ia akan diadakan di sebelah pagi, kerana peperiksaan berlangsung pada sebelah petang. Kelas tambahan dinamakan Kelas Tambahan Intensif merangkumi ulang kaji menggunakan kertas-kertas peperiksaan yang lalu.
“Untuk membawa para pelajar keluar daripada kelas pembelajaran sekolah mereka di sebelah pagi, guru-guru sekolah agama telah mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Pendidikan,” jelasnya.
Sementara itu, Hajah Rosinah binti Haji Kassim pula memberitahu, sebagai guru mereka mesti banyak bersabar dan memperbanyakkan pengorbanan demi kejayaan para pelajar.
Beliau yang telah mengajar pelajar Darjah 6 selama empat tahun, seterusnya berkata, harapan setiap guru adalah kejayaan murid-murid mereka.
“Sijil Peperiksaan SSSRU pada masa ini dilihat penting, demi masa depan para pelajar terutama sekali dalam permohonan pekerjaan, ianya merupakan salah satu sijil yang dilihat, selain untuk memohon melanjutkan pelajaran juga penting. Sehubungan itu, pihak sekolah agama berusaha dengan gigih dalam memastikan pelajar-pelajar kami lulus dalam peperiksaan tersebut,” katanya.
Seorang lagi guru sekolah agama tersebut, Awang Azamany bin Haji Jumat pula memberitahu, inisiatif lain yang dilakukan pihak sekolah termasuklah mengadakan program-program motivasi, Sembahyang Sunat Hajat, sema ada diadakan di sekolah atau di masjid bersama para pelajar, guru-guru dan ibu bapa mereka. Beberapa orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SSSRU semasa ditemui pula memberitahu, memang tidak dapat disangkalkan mereka merasa agak berdebar, tambahan lagi peperiksaan sudah tinggal kira-kira dua minggu lagi.