Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Brunei Darussalam buat julung-julung kalinya menghantar atlet renang berirama ke Sukan Asia Tenggara ke-29 di Kuala Lumpur 2017. Menurut Pengurus, dan juga selaku koordinator Pasukan Synchro Brunei Darussalam, Awangku Abdul Farid Pengiran Idrus, ia merupakan perkembangan positif dan atas sebab berkenaan para atlet telah pun dipersiapkan bagi temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.
“Kami sudah lebih awal bersedia dan sejak tahun lepas, usaha sudah dijalankan oleh pasukan. Atlet untuk temasya kali ni sangat komited dengan latihan yang ditetapkan” ujarnya lagi.
Menurutnya pasukan renang berirama negara mengadakan latihan di sebelah pagi dan petang, bukan sahaja mempersiapkan diri untuk temasya ini, malah bagi penyertaan di Siri Terbuka Dunia yang berlangsung di Jepun April 2017 lalu.
Apabila ditanya mengenai pendedahan sebelum sukan Asia tenggara, Farid menegaskan para atlet sudah menyertai beberapa pertandingan antarabangsa dan beliau menyatakan keyakinan akan kebolehan kedua-dua peserta negara di dalam acar Renang Berirama itu.

“Mereka telah pun di hantar ke Singapura pada bulan Jun dan Julai selama satu bulan lebih untuk latihan terperinci dan lebih fokus,bersama jurulatih kebangsaan, Nur Anna Muin bagi memperkemaskan lagi persiapan sebelum melangkah ke dalam Sukan Asia Tenggara kali ini,” ujarnya.
Menurutnya para atlet perlu mengetepikan perkara lain dan memberikan fokus untuk mengalahkan pihak lawan dalam acara masing-masing dan mengharapkan supaya para atlet negara akan berjaya meraih sebanyak mungkin pingat dalam penyertaan kali ini.
Beliau menambah berdoa semoga para atlet mendapat kejayaan. “Insya Allah berkat usaha, Kegigihan dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh para jurulatih, abiskita semua akan dapat kejayaan.”
Pasukan Synchro Brunei akan dipimpin oleh jurulatih Nur Anna Muin dan dua atlet yang bakal membawa nama negara di temasya itu adalah Jacqueline Lim dan Nur Hafizah Ahmad yang akan menyertai acara Technical Duet Routine dan Free Duet pada 18 hingga 20 Ogos 2017 nanti.