Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
Hanya tinggal beberapa hari saja lagi cuti akhir penggal persekolahan akan berakhir, dan secara langsung sesi persekolahan bagi tahun 2023 akan bermula 3 Januari mendatang.
Dalam baki beberapa hari yang ada inilah, para ibu bapa dan penjaga semakin sibuk membuat persediaan terakhir membeli kelengkapan untuk anak-anak mereka yang akan kembali ke sekolah. Kebanyakan mereka sebolehnya mahu anak masing-masing berpakaian seragam serba baharu dan memiliki peralatan sekolah yang lengkap pada hari pertama sesi persekolahan.
Media Permata berkesempatan menemu bual seorang ibu, Dayang Aizen Syamsiah binti Haji Puasa, 40, berkata, dia membuat tempahan untuk pakaian seragam sekolah dan kelengkapan sekolah lain untuk dua anaknya yang berusia empat dan lapan tahun.
“Hari ini, saya membeli sebagai tambahan bagi barangan yang kurang, kelengkapan peralatan sekolah seperti alat tulis dan lain-lain” katanya yang menetap di Kampung Pengkalan Gadong, sambil menyatakan sebahagian kelengkapan sekolah anaknya telah dibeli lebih awal sebelum ini.
Seorang lagi ayah yang sempat ditemu bual, Awang Radduandy dari Kampung Lambak Kanan berkata, dia hanya membeli kasut sekolah untuk anak sulungnya berusia empat tahun yang akan memulakan pembelajaran di Sekolah Nusa Laila Puteri.






“Saya sengaja menunggu saat akhir untuk membeli kasut sekolah kerana tidak mahu membazir dan bersesak-sesak. Lagipun memang setiap saat akhir dan hujung tahun pasti ada promosi harga murah.
“Alhamdulillah pusat membeli-belah agak sunyi hari ini kerana mungkin ramai sudah membeli lebih awal,” tambahnya.
Hajah Saripah Hanim binti Haji Mohidi ketika ditemu bual berkata, beliau membeli peralatan sekolah seperti alat tulis, beg sekolah, dan lain-lain di negara jiran, memandangkan harganya jauh lebih murah dan banyak pilihan.
“Tidak kesemua barang keperluan sekolah dibeli di luar negara, ada sebahagian juga dibeli di negara sendiri. Saya selaku seorang ibu juga masih perlu untuk membeli dan melengkapkan beberapa keperluan seperti pakaian sekolah, alat tulis, buku dan bahkan komputer riba,” kongsinya.
Menyentuh mengenai harga barang, beliau menyatakan rata-rata harga semakin tahun semakin naik untuk barangan yang berkualiti dan tahan lama. Tambahnya, kalau ada pun barangan atau alat tulis yang murah hampir kesemuanya tidak berkualiti dan bahkan tidak berfungsi dengan baik.
Meskipun negara kita sudah memasuki Fasa Endemik, bagaimanapun langkah-langkah pencegahan penularan COVID perlu dititik beratkan. Antara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan anak-anak yang tidak sihat atau mempunyai gejala batuk, demam dan sesak nafas untuk tidak menghantar mereka ke sekolah.
Pastikan anak-anak mengetahui cara mencuci tangan secara betul dengan menggunakan sabun dan air, juga beritahu mereka waktu bila perlu mencuci tangan seperti sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
Nasihati anak-anak awda mengenai penjarakan sosial dalam situasi ketika berada di dalam kenderaan awam seperti bas dan van sekolah, semasa menunggu bas atau ibu bapa, semasa berada di dalam kelas dan semasa berada di kawasan kantin sekolah. Pastikan juga anak-anak awda faham dan tahu cara untuk batuk dan bersin dengan betul, terutama apabila bersama rakan lain di sekolah.

