Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Semua aktiviti atau acara sempena Hari Kebangsaan ke-34 Negara Brunei Darussalam tahun depan akan dibenarkan disambut dalam lingkungan tempoh tiga bulan, mulai 23 Februari, kata Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Ketua Umum (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ucapannya semasa mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34, Tahun 2018 (JKT) di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.
“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja dan negara zikir, Sambutan Hari Kebangsaan dilihat sebagai hari yang penuh keberkatan lagi bermakna, melakar sejarah dan ristaan, yang telah dapat mengumpulkan seluruh lapisan penduduk dan masyarakat di Upacara Perhimpunan Agung dan sama-sama menzahirkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mencerminkan perpaduan dan ketahanan nasional yang jitu,” kata Yang Berhormat Pehin.
Hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar; Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Awang Mohd Tawih bin Abdullah; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli dan wakil ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34, 2018.
– (Ikuti berita lanjut dalam Media Permata)
http://digital.mediapermata.com.bn