Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapan sambutan Hari Malaysia di Sabah berjalan lancar

    KOTA KINABALU, 12 OGOS – Persiapan sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung pada 16 September ini di Padang Merdeka berjalan dengan lancar, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata Sabah akan menjadi tuan rumah acara itu yang akan bermula pada 8 malam, yang akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan kebudayaan, lagu-lagu tradisi dan kontemporari selain pameran bagi mengimbau sejarah pembentukan Malaysia serta aspek-aspek penting berkaitan negara.

    “Ada beberapa perkara bersifat protokol yang memang akan kita saksikan setiap hari sambutan (16 September), tetapi pada masa yang sama ada tambahan (persembahan) kebiasaannya dari segi persembahan kebudayaan.

    “Itu yang akan menjadi kelainan dari satu sambutan ke satu sambutan yang lain. Oleh itu saya menyeru warga Sabah untuk datang beramai-ramai dan raikan Hari Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Terdahulu Fahmi dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini.

    Fahmi berkata antara tetamu jemputan yang dijangka hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri besar dan perwakilan asing. – Bernama

    Fahmi Fadzil (kanan) ketika ditemui media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia di Kota Kinabalu pada 12 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda