Persiapan sebelum pembukaan semula masjid di seluruh negara

Oleh Yusrin Junaidi, AK Zaki Kasharan & Daniel Lim
Gambar oleh Muiz Matdani, AK Zaki Kasharan & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Sebelum pembukaan semula masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi sembahyang Jumaat berjemaah pada 29 Mei ini, rombongan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah membuat tinjauan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan penggunaannya untuk orang ramai.

Di Daerah Brunei dan Muara, rombongan KHEU diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, sementara itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar mengetuai rombongan di Daerah Temburong.

Di Daerah Tutong pula, rombongan diketuai oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

Manakala itu, Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang mengetuai rombongan di Daerah Belait di mana lawatan bermula di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Turut ditinjau ialah Masjid RPN Kampung Pandan, Masjid Lorong Tiga Selatan, Masjid Zainab dan Masjid Kampung Sungai Liang.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika ditemu bual menjelaskan, lawatan bertujuan untuk meninjau persiapan jika ada kekurangan yang diperlukan sebelum masjid dibukakan untuk orang ramai menunaikan sembahyang Jumaat.

Rombongan KHEU yang diketuai Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa membuat tinjauan.
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa membuat tinjauan bagi persiapan di beberapa masjid di Daerah Brunei dan Muara.
Penyediaan pensanitasi tangan dan penutup mulut dan hidung untuk para jemaah.
Haji Mohd Serudin ketika meninjau persiapan di beberapa buah masjid di Daerah Belait.

Ruang saf masjid yang ditandakan penjarakan sosial bagi jemaah menunaikan solat fardu Jumaat.

Keperluan-keperluan yang ditinjau ialah keperluan ruang kapasiti masjid setelah penjarakan dan jika perlu mungkin ada diberi tambahan ruang dengan khemah, dan hanya 30 peratus sahaja yang dibenarkan mengikut kapasiti masjid masing-masing.

“Alhamdulillah, setakat kelmarin, lebih 24,000 telah mendaftar untuk menunaikan sembahyang Jumaat, dan hanya dua buah masjid sahaja sudah mencapai 100 peratus tempahan melalui aplikasi Bruhealth di kawasan Daerah Brunei dan Muara dan selebihnya di bawah 50 peratus dan statistik ini dijangkakan akan meningkat dan hanya akan diketahui pada hari Khamis ini,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, persiapan lain seperti penyediaan pensanitasi tangan dan penutup mulut dan hidung juga disediakan untuk jemaah yang terlupa membawanya.

“Tetapi, seboleh-bolehnya jemaah perlu menyediakan sendiri, dan juga membawa tikar sembahyang yang berukuran besar,” Yang Berhormat Pehin mengingatkan.

Apa yang penting ialah mengikuti peraturan yang telah ditetapkan ketika di dalam masjid iaitu berwuduk di rumah, tidak bersalaman dan sebagainya, selesai menunaikan sembahyang Jumaat segerakan bersurai dan sebagainya. Yang Berhormat Pehin menambah, kementeriannya juga sangat menghargai sumbangan dan semangat orang ramai serta syarikat-syarikat di mana ada yang akan datang untuk menyumbangkan pensanitasi tangan, penutup mulut dan hidung dan sebagainya.

Apa yang penting, ujar beliau, pembukaan masjid ini adalah salah satu langkah untuk menarik balik beberapa larangan yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau menjelaskan, untuk tahap pertama, tiga kali solat Jumaat akan diadakan dan jika semuanya berjalan dengan baik akan memasuki ke tahap kedua di mana terdapat beberapa kelonggaran dan tiga minggu berikutnya jika keadaan mengizinkan serta dalam keadaan selamat dan baik akan memasuki tahap ketiga.

“Di tahap ini nanti kita sudah diperbolehkan untuk menunaikan sembahyang lima waktu cuma waktunya dihadkan 10 minit sebelum azan dan 10 minit selepas sembahyang dan juga mematuhi penjarakan sosial, dan setelah jika memasuki tahap sete-rusnya iaitu tahap keempat, barulah ia kembali seperti sedia kala,” jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin juga menasihatkan mereka yang tidak dibenarkan untuk menunaikan sembahyang Jumaat seperti kod kuning BruHealth, dan sebagainya jangan dulu hadir untuk menunaikan sembahyang Jumaat.

Dalam kesempatan ini, beliau juga menasihatkan orang ramai untuk menjaga kebersihan diri sebelum datang ke masjid, cuci tangan, memakai pakaian yang bersih dan yang paling penting memastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik.

Orang ramai yang akan menunaikan sembahyang fardu Jumaat nanti disarankan untuk mematuhi Panduan Sembahyang berjemaah di Masjid bagi Membendung Penularan Wabak COVID-19.

Sementara itu, Imam Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis, Haji Burhanuddin bin Haji Damit turut mengongsikan beberapa saranan serta nasihat bagi para jemaah yang akan datang menunaikan solat fardu Jumaat agar membawa serta menggunakan sejadah yang berukuran besar sebagai langkah terbaik mengurangkan risiko penularan penyakit yang diperkukuhkan lagi dengan penggunaan penutup mulut dan hidung yang sesuai.

Pihak masjid, jelasnya, sudah merangka strategi yang bersesuaian dan mengikut garis pandu yang ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan jemaah pada ketika ini.

Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Mohammad Asyramisyanie bin Kamis turut menekankan bahawa apa yang lebih penting adalah tanggungjawab pihak jemaah sendiri untuk memastikan mereka membuat penilaian sendiri melalui aplikasi BruHealth dengan bersikap jujur akan keadaan kesihatan masing-masing.

“Difahami pihak masyarakat amat merindui masjid namun kesejahteraan negara lebih utama di saat penularan wabak meskipun situasi di negara kita terkawal,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyarankan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta ahli jawatankusa takmir masjid kerana ia adalah penting supaya semua perancangan solat Jumaat berjalan lancar dan jaya.