Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Seramai 71 orang belia dan beliawanis menyertai Perkhemahan Youth of Faith 2.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia, Kumpulan Belia Ashabul Halim, Kumpulan Belia Syababurroja, Kumpulan Syababul Iman, Belia Masjid Ash-Shaliheen dan Kumpulan Belia Ashabul Akhyar dengan kerjasama Belia Masjid Senegara itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat majlis.
Dengan tema Ignite Your Iman, Ignite Your Potential, program berobjektif untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal, khususnya bagi para belia dalam menghadapi cabaran pada era globalisasi ini.
Program juga diadakan untuk membekalkan para belia dengan ilmu pengetahuan secara informal dan meningkatkan keyakinan serta motivasi diri untuk menjadi yang lebih baik.
Di samping mendedahkan para belia dengan aktiviti-aktiviti yang akan memupuk sifat kerjasama, tolong-menolong dan sifat kemanusiaan dalam diri para peserta, program juga dihasratkan untuk membekalkan para belia dengan ilmu pengetahuan secara informal berserta kemahiran abad ke-21 sebagai bekal untuk menghadapi cabaran mendatang.
Program akan diisikan dengan aktiviti-aktiviti menarik dan mencabar termasuk yang disediakan khas demi mencapai tema dan matlamat program serta bermanfaat kepada para peserta seperti ceramah, bengkel kerohanian, latihan dalam kumpulan, aktiviti kesenian Islam, kemasyarakatan, kemahiran diri dan sebagainya.
Dengan adanya program seumpamanya, ia akan dapat memberikan impak yang sangat besar kepada para peserta serta dapat mencapai hasrat pihak penganjur agar program ini dapat menjadi titik permulaan bagi para peserta khasnya sebagai langkah pertama untuk berhijrah ke arah membentuk diri menjadi belia Islam dan siap siaga membuka minda bagi berdepan dengan pelbagai cabaran.