Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Lebih dari 100 orang belia kelmarin menyertai Program Perkhemahan Belia Journey of Faith anjuran Kumpulan AJK Tertinggi Belia Masjid Senegara dan Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait dengan kerjasama Kumpulan Belia Ibadurrahman Tutong dan Kumpulan Belia Masjid Zainab Lumut.
Program yang diadakan selama dua hari dari 5 hingga 6 Disember itu bersempena Brunei December Festival.
Hadir selaku tetamu kehormat pada perasmian program berkenaan ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Aliyani bin Haji Ismail.
Program yang bertemakan Building a Strong Foundation itu bertujuan mempersiapkan para belia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran yang mendatang dengan pendidikan agama khasnya dan pendidikan umum amnya.
Antara aktiviti dan pengisian program termasuk ceramah, bengkel kerohanian, latihan berkumpulan, aktiviti kemasyarakatan dan kemahiran diri.
Sebagai sebuah negara zikir, program itu dapat menjadi titik permulaan bagi lebih dari 100 orang belia sebagai langkah pertama untuk berhijrah ke arah membentuk diri menjadi belia Islam dan siap siaga membuka minda untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada era globalisasi ini.
Di samping itu, program itu juga dihasratkan menjadi platform untuk melahirkan belia yang bertanggungjawab, prihatin dan berbakti kepada raja, bangsa, agama dan negara selain mendedahkan para belia kepada aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk sifat kerjasama dan sifat kemanusiaan dalam diri setiap para peserta.


