Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapkan diri agar lebih kuat

    Pelawak dan pengacara, Ajak Shiro, mengakui dia juga tidak terlepas daripada godaan peminat yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hatinya. Ajak atau nama sebenarnya, Mohd Hanaffi Razak, 32, berkata sebagai selebriti, dia perlu menetapkan pendiriannya supaya tidak tergelincir dari landasan.

    “Bohong jika saya mengaku tidak pernah digoda. Ada yang sanggup mengirim foto tidak senonoh untuk menguji iman dan keberanian mereka membuatkan saya terkejut. Selama mencipta nama, saya tidak pernah menyembunyikan status sebagai suami orang. Namun, masih ada yang mahu mencuba.

    “Jika pegangan tidak kuat, mungkin kita akan hanyut. Cuma, saya bernasib baik kerana akaun laman sosial diuruskan isteri. Kebiasaannya, dia akan terus menyekat akaun terbabit jika menerima gambar tidak senonoh,” katanya.

    Pengacara program Melodi itu bersyukur, isterinya tidak mudah melatah, jauh sekali meragui kesetiaannya. Ajak berkata, membaca pelbagai kisah membabitkan konflik rumah tangga, termasuk isu kecurangan selebriti memberi peringatan supaya dia tidak menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan insan tersayang.

    Ajak yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Afifah pada 6 Jun 2009 mengakui, pernah berselisih faham dengan isterinya kerana perkara sebegitu, membuatkan dia lebih berhati-hati melayani peminat untuk mengelakkan fitnah.

    “Saya bahagia melihat wajah isteri dan anak, malah mahu bersama mereka hingga ke akhir hayat. Perjalanan hidup saya dalam industri hiburan hanya persinggahan dan apa yang saya peroleh hari ini atas doa isteri serta anak,” katanya.

    Ajak ditemui pada majlis berbuka puasa Ajak & Friends bersama anak yatim dari Yayasan Chow Kit, baru-baru ini.

    Setiap tahun, Ajak tidak ketinggalan berkongsi rezeki bersama insan yang kurang bernasib baik. Menyentuh perkembangan kerjayanya, bekas penyampai radio Hot FM itu berkata, dia akan mengendalikan program baharu, Raja Lawak Junior, selain tampil dengan single, Yang Mano ciptaan Altimet. – Agensi

    Ajak berkata sebagai selebriti, dia perlu menetapkan pendiriannya supaya tidak tergelincir dari landasan. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda