Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapkan diri dengan bekalan amal soleh

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan tidak ada yang tahu bila ia akan terjadi.

    Sesungguhnya mati adalah ketentuan dan rahsia Allah SWT yang pasti akan berlaku.

    Mati bermaksud terputusnya hubungan di antara roh dan jasad, ia adalah detik permulaan memasuki alam barzakh dan seterusnya memulakan perjalanan ke alam akhirat. Maka apabila sampainya waktu, ajal itu tidak akan dipercepat atau dilambatkan walau sesaat pun.

    Khatib dalam khutbah Jumaat, berjudul Husnul Khatimah, hari ini, mengingatkan bahawa ajal itu datang menjemput pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira sama ada seseorang itu soleh atau derhaka, miskin, lemah, sakit dan tua. Malah orang yang kaya, kuat, sihat dan muda pun tidak akan terlepas daripada maut.

    Dalam pada itu, khatib antaranya turut menekankan, sebagai umat sudah setentunya kita mengimpikan dan berharap agar kita dimatikan dalam keadaan husnul khatimah iaitu kesudahan yang baik, atau baik dalam iman yang menjadi cita-cita semua orang Islam.

    GAMBAR FAIL OLEH MUIZ MATDANI

    “Mati di dalam husnul khatimah adalah bermakna mendapat keredaan dan maghfirah (keampunan) Allah SWT, dan Insya-Allah akan beroleh ganjaran yang baik di sisi-Nya.

    Inilah impian yang ditunggu-tungu di penghujung usia,” ujar khatib.

    Sementara sebaliknya, jelas khatib, su’ul khatimah iaitu kesudahan yang buruk dan hina, atau kematian di luar iman, ia menjadi mimpi ngeri kepada semua orang Islam yang mengerti akan akibatnya.

    “Kematian adalah peristiwa yang menakutkan dan menyakitkan. Kegelisahan yang amat mendalam menghampirinya pada saat menjelang ajal bilamana seseorang tidak mempersiapkan diri dengan bekalan amal soleh yang cukup untuk menghadapi ajalnya bagi hidup di akhirat kelak,” tegasnya.

    Khatib turut menjelaskan kerana itu terdapat doa yang indah untuk diamalkan supaya kita dimatikan dalam keadaan husnul khatimah iaitu ‘Ya Allah, akhirilah hidup kami ini dengan keadaan husnul khatimah kesudahan yang baik (matikan kami dalam iman), dan janganlah Engkau akhiri hidup kami dengan keadaan su’ul khatimah kesudahan yang buruk (mati di luar iman)’.

    Oleh yang demikian, khatib turut menekankan adapun antara cara untuk mendapatkan husnul khatimah ialah melakukan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya; dan sentiasa memohon doa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh agar pengakhiran kehidupan kita dalam keadaan beriman dan bertakwa.

    Begitu juga, tambah khatib, kita mestilah sentiasa berusaha membaiki diri sama ada zahir atau batin, di samping menjaga hubungan kita dengan Allah SWT dan juga hubungan kita sesama makhluk Allah SWT; dan kita hendaklah sentiasa bertaubat, menyesali dan menginsafi segala kesilapan serta berazam untuk tidak akan mengulangi lagi kesalahan yang dilakukan.

    Khatib turut menyarankan agar kita bersama-sama istiqamah berusaha melakukan amal soleh di dunia ini tanpa merasa jemu. Jadikan amalan kita sebagai satu proses penyucian diri yang berterusan sehingga ke penghujung usia tanpa merasa puas dan cukup.

    Di samping itu, teruslah berdoa semoga kesudahan hayat kita nanti ditempatkan ke dalam golongan husnul khatimah, diberikan kesempatan bertaubat sebelum kematian, mendapat rahmat Allah SWT ketika menghadapi kematian, mendapat keampunan Allah SWT selepas kematian, mendapat kebahagiaan pada hari perhitungan dan terlepas dari seksaan azab api neraka dengan rahmat Allah SWT jua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda