Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapkan lepasan graduan Universiti Al-Azhar

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Dalam usaha membantu dan mempersiapkan para lepasan graduan Universiti Al-Azhar menghadapi cabaran pasaran kerja pada masa ini, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam melalui Lajnah Tarbiyah dan Dakwah buat julung kalinya mengadakan Program Hiwar Kerjaya bersama Rabitah Alumni Al-Azhar, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong itu ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Kira-kira 37 orang peserta terdiri daripada lepasan graduan Universiti Al-Azhar yang menamatkan pengajian pada 2020-2023 mengikuti program berkenaan.

    Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Dakwah, Awang Muhammad Jalalluddin bin Junaidi selaku peneraju program dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program berkenaan dikhususkan bagi para alumni yang belum mendapat pekerjaan dan graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian.

    Sementara itu, Haji Abdul Rajid dalam ucapannya antara lain menyarankan agar alumni Al-Azhar dapat mengambil manfaat ilmu melalui program Hiwar Kerjaya ini.

    Haji Abdul Rajid menyampaikan ucapannya semasa program berkenaan. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Haji Abdul Rajid bergambar ramai bersama antara yang hadir pada Program Hiwar Kerjaya di Auditorium UNISSA, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    “Hiwar Kerjaya dan melalui platform ini kita akan sama-sama bekerjasama, berfikir di luar kotak, menganalisis maklumat dan dapat berkomunikasi dengan cara yang berhemah,” ujarnya lagi.

    Beliau juga berharap, program itu akan menjadi platform yang seterusnya membuka ruang kepada rabitah bekerjasama dengan badan-badan organisasi yang bukan kerajaan (NGO) dalam menangani bersama cabaran dunia pekerjaan yang semakin berubah dan kompetitif.

    Antara program yang difikirkan dapat dimanfaatkan ialah bimbingan kerjaya, perkongsian kejayaan daripada para usahawan dan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan (softskill).

    Program diisikan dengan sesi taklimat daripada JobCentre dan sesi Hiwar Kerjaya yang melibatkan empat orang panel terdiri daripada alumni Al-Azhar yang memiliki kerjaya dalam pelbagai bidang.

    Antara pengisian sesi perkongsian tersebut adalah mengenai hala tuju kerjaya dan peluang melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi yang juga membuka minda peserta-peserta program mengenai peluang pekerjaan yang boleh diterokai di sektor kerajaan, swasta dan keusahawanan di samping membekalkan pengetahuan awal mengenai kemahiran yang diperlukan, cabaran semasa dan akan datang mengenai dunia kerjaya.

    Hasil program tersebut diharapkan dapat memberikan manfaat dan faedah kepada para alumni bagi memantapkan persediaan mereka dalam pencarian kerja dan meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda