Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 148 penuntut dari pra hingga Tahun 6 termasuk 31 guru telah menyertai Taklimat Keselamatan Dalam Talian yang disampaikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah di Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Kluster 3, Lambak, baru-baru ini.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Koperal 4747 Syalihen bin Haji Ludin dan menyentuh mengenai ancaman jenayah siber yang semakin meningkat serta penyalahgunaan media sosial termasuk aplikasi permainan seperti Roblox dan sebagainya yang boleh memudaratkan masyarakat.


Para peserta turut diperingatkan untuk berhati-hati daripada terpengaruh dengan tawaran mencurigakan serta dinasihatkan membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum mengongsikan maklumat peribadi demi keselamatan.
Maklumat yang dikongsikan penting bagi membantu para pelajar dan guru melindungi diri serta keluarga daripada terjerumus menjadi mangsa jenayah siber.

