Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapkan pelajar tempuhi alam pekerjaan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Lebih 150 orang penuntut Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menghadiri Forum PREPanita bertajuk Selamat Datang ke Dunia Pekerjaan untuk memperkasa para pelajar agar bersedia secara mental bagi menempuh alam pekerjaan dan melalui cabaran-cabaran dengan baik.

    Forum yang juga memberikan pendedahan mengenai isu-isu gangguan seksual di tempat kerja itu dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan persatuan-persatuan bukan kerajaan, dan berlangsung di IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Seria.

    Ia dikendalikan oleh Haji Asyraf bin Mohammad Ali dari JAPEM selaku moderator dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Pegawai Pembangunan Masyarakat, Dayang Siti Alifah binti Awang Osman; Dayang Sabrina binti Haji Mahmud selaku wakil daripada Persatuan Siswazah Wanita (PSW), dan Pengerusi dan Pengasas Bersama Projek FEED, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin.

    Semasa forum itu, Dayang Siti Alifah telah mengongsikan mengenai kaedah yang berkesan untuk menangani para wanita yang menghadapi tekanan berlebihan di tempat kerja dan keseimbangan kehidupan kerja yang baik.

    Beliau menekankan kepentingan untuk menjaga keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan iaitu dengan melakukan aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan atau stres dan burnout.

    Ahli-ahli panel mengendalikan forum yang dianjurkan JAPEM di IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Seria. – Gambar serahan JAPEM
    Antara yang hadir pada forum berkenaan. – Gambar serahan JAPEM

    Selain itu juga, menjaga kesihatan fizikal dan mental iaitu seperti menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, meningkatkan produktiviti kerja dan memperbaiki hubungan sosial adalah sangat penting untuk menjaga keseimbangan antara pekerjaan dan juga kehidupan.

    Beliau juga mengongsikan tip-tip untuk mencapai dan mengekalkan keseimbangan kehidupan kerja yang baik termasuk mengenal pasti apakah yang menghalang daripada mencapai keseimbangan, contohnya isu kekurangan masa, oleh itu pengurusan masa adalah amat penting.

    Seterusnya, Dayang Sabrina pula mengongsikan pengalaman mereka dalam memperkasa wanita yang berilmu dan berwibawa dalam menempuh alam pekerjaan.

    Beliau menekankan bahawa komunikasi adalah penting terutama sekali apabila ia berkaitan dengan isu peribadi seperti isu gangguan seksual.

    Gangguan seksual misalnya di tempat kerja adalah isu sensitif bagi yang mengalaminya tetapi aduan perlu dilaporkan kepada pihak-pihak yang relevan dan individu yang mengalaminya perlu tahu akan hak-hak mereka untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan.

    Manakala itu, Pengiran Haji Ahmad Fadillah pula mengongsikan mengenai peranan belia untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara dan seterusnya bersiap siaga menempuh alam pekerjaan dengan penuh kewibawaan.

    Beliau menasihatkan para pelajar menjadi lebih aktif melibatkan diri dalam kesukarelawanan agar dapat mengambil nilai-nilai pegangan untuk menempuhi alam pekerjaan.

    Beliau juga menekankan agar para penuntut sentiasa ingin menyahut cabaran untuk mengubah pola pemikiran dan melatih bagi mencari jalan penyelesaian.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda