Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persiapkan rohani menjelang Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Bulan Ramadan, bulan penuh dengan keampunan dan keberkatan, yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia tiba tidak lama lagi.

    Sebelum kedatangan bulan Ramadan, umat Islam sangat digalakkan untuk mempersiapkan diri.

    “Persiapan ini bersifat syumul, yakni menyeluruh iaitu persiapan rohani, spiritual kita seperti zikrullah, solat tahajud, selawat dan kemudian persiapan jasmani iaitu tubuh badan kita seperti berpuasa, jaga pemakanan, hatta persiapan lain yang berbentuk makanan seperti memberi makan orang yang berpuasa atau dalam kata lain menyungkaikan.”

    Perkara itu antara yang ditekan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr Norhazerah binti Baha semasa menyampaikan tazkirah pada program Malam Munajat Ambang Ramadan (Khas untuk Wanita ke-14) anjuran KHEU kali ke-128 malam tadi.

    Mengimarahkan acara itu ialah Ketua Kumpulan Meraih Barkah, Hajah Florinda binti Haji Mejenis bersama ahli-ahli Kumpulan Meraih Barkah. Juga menyertai acara ialah para jemaah wanita dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadah di seluruh negara serta warga kerja wanita KHEU bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

    Turut menyerikan acara munajat ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Malam Munajat mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.

    Orang ramai dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap Sabtu secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.

    Datin Hajah Nahriah, Dr Norhazerah dan Hajah Florinda serta antara jemaah yang turut serta semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda