Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Dis – Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam (PERSIB) bertanggungjawab sebagai kepala atau indung kepada kesemua persatuan dan badan-badan seni bela diri atau persilatan yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam, dalam memastikan persatuan-persatuan atau badan-badan yang bernaung di bawahnya mematuhi segala peraturan undang-undang persekutuan khususnya dan undang-undang Negara Brunei Darussalam amnya.
Perkara itu ditegaskan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim ketika berucap di majlis penyampaian sijil kepada peserta-peserta seminar dan bengkel Pencak Silat Cekak Asli dan Kuntau sempena Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Tahkta yang berlangsung di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Menurut beliau, PERSIB perlu mempraktikkan urustadbir terbaik dengan mengadakan permesyuaratan secara berkala dan mengikut keperluan. Dalam pada itu juga, PERSIB juga bertanggungjawab dalam memastikan seni budaya pencak silat ini tidak menyalahi akidah islam.

Mana-mana perbezaan pendapat atau ketidak sefahaman perlu diselesaikan melalui permesyuaratan dalam kalangan ahli dengan sikap hormat-menghormati dan cuba memahami pendapat masing-masing.
Antara objektif seminar dan bengkel ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pendedahan dalam mengembangkan silat melayu khususnya Seni Cekak Asli sebagai warisan budaya bangsa selain memupuk semangat setia kawan dan bekerjasama serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara badan-badan pengurusan silat yang ada.