Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 300 orang yang terdiri daripada ahli- ahli saintis termasuk ahli-ahli Persatuan Makmal Sains Klinikal ASEAN (AACLS), ahli-ahli Persatuan Saintis Makmal Perubatan Brunei Darussalam (BAMLS), pegawai-pegawai perubatan, jururawat-jururawat, pegawai-pegawai kesihatan bersekutu, pegawai-pegawai dan kakitangan hospital dan klinik swasta serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara menghadiri Majlis Perasmian Persidangan ACCLS ke-18 (ACCLS18) yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah bagi ACCLS18 yang dianjurkan bersama oleh Persatuan ACCLS, BMLS dan Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta kakitangan di Kementerian Kesihatan.
Dalam kata alu-aluan Pengarah Perkhidmatan Makmal, Dr Hajah Surita binti Haji Mohd Taib selaku Yang Di-Pertua BAMLS berkata perubatan makmal berkembang pesat dalam bidang perubatan.
Oleh itu, tambahnya, “Matlamat utama persidangan adalah untuk mengemaskini serta peka dengan perkembangan terkini dalam teknologi baharu dan dapatan penyelidikan saintifik dalam sains makmal perubatan, kemajuan dalam amalan perubatan makmal, diagnosis penyakit, rawatan serta pengurusan dan meningkatkan kualiti kehidupan pesakit.”
Sementara itu, Presiden Persatuan ASEAN bagi Sains Makmal Klinikal, Dr Miswar Fattah dalam kata alu-aluannya pula menyatakan, “Persidangan yang membawa tema, Perubatan Makmal dalam Landskap Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan, bukan sahaja pertemuan dan persidangan saintifik tetapi ia meraikan inovasi, kolaborasi serta usaha berterusan untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang berkenaan.”
Persidangan itu dimuatkan dengan ceramah perdana, ceramah-ceramah saintifik, bengkel dan pembentangan kertas kerja saintifik yang mengetengahkan penyampai ceramah serta moderator yang terdiri daripada penceramah-penceramah undangan dari luar negara, pegawai-pegawai perubatan tempatan, pensyarah-pensyarah Universiti Brunei Darussalam, pegawai-pegawai saintifik tempatan dari Jabatan Perkhidmatan Makmal dan ahli-ahli majlis AACLS dan BAMLS.
Persidangan yang membawa tema berkenaan adalah amat bersesuaian dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang kita hadapi dengan cabaran dan peluang terbaik dalam mengharungi perkembangan teknologi.