Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Delegasi Kementerian Pendidikan telah menghadiri Persidangan ASEAN TVET yang telah diadakan bermula 3 Julai lalu hingga kelmarin di Batam, Indonesia.
Delegasi Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh, dan turut disertai oleh Ketua Pengurusan Rantaian Bekalan-Nilai-Negara, Haji Muhammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh sebagai peneraju Manpower Industry Steering Committee Working Group (MISC-WG) Energy; Pemangku Setiausaha Kerja, Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Kementerian Pendidikan, Haji Mohd Fadzillah bin Haji Abdullah; Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Saiful Rizal bin Haji Marali, dan Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei, Haji Mohammad Reizal bin Mohammad Ali.
Semasa persidangan berkenaan, delegasi turut melawat Taman Digital Nongsa Batam dan Politeknik Negeri Batam.
Persidangan anjuran Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Republik Indonesia berkenaan bertujuan untuk berkongsi dan membincangkan amalan kerjasama antara Latihan dan Pengajian Teknikal dan Vokasional (TVET) dan entiti perniagaan atau industri di negara ASEAN.
Antara objektif utamanya adalah untuk berkongsi dan mempelajari pelbagai model kerjasama, ramuan utama untuk kerjasama yang berkesan antara TVET dan industri; untuk menggalakkan kerjasama serantau antara TVET dan industri, dan untuk merangka cadangan dasar mengenai kerjasama TVET-Industri.


