Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan BICET buka tirai

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    BANDAR SERI BEGAWAN 12 Nov – Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan dan Teknologi Brunei (BICET) ke-7 tahun yang bertemakan ‘Pembangunan yang Mampan dalam Kejuruteraan dan Teknologi’ telah membuka tirainya hari ini di Dewan Serba Guna, Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Hadir bagi merasmikan persidangan tiga hari itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Persidangan yang akan berlangsung sehingga 14 November itu dibukakan kepada ahli-ahli akademik, penyelidik dan jurutera dari industri, penyelidikan makmal dan universiti bagi tujuan bertukar-tukar maklumat dan menghasilkan kerjasama.

    Persidangan membincangkan mengenai perkembangan terkini dalam bidang sains kejuruteraan dan teknologi.

    Dekan Fakulti Kejuruteraan, Dr Hajah Ena Kartina binti Haji Abdul Rahman dalam ucapannya melahirkan harapan agar BICET sentiasa menjadi platform bagi para pelajar, ahli akademik dan jurutera untuk menyebarkan penemuan penyelidikan mereka dan bertukar idea serta mengukuhkan aktiviti penyelidikan masa depan dalam kejuruteraan dan teknologi.

    Gambar ramai bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi pada majlis pelancaran Persidangan BICET 2018 di Dewan Serba Guna UTB, kelmarin.

    Persidangan berkenaan diisikan dengan ucaptama bertajuk ‘From Smart Grid, Microgrid to Energy Internet’ oleh Profesor dari Sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Telekomunikasi, Universti New South Wales, Sydney, Profesor Dr Z Y Dong.

    Bagi persidangan tahun ini, sebanyak 125 kertas kerja akan dibentangkan pada empat jalur iaitu Jalur A – Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Jalur B – Kejuruteraan Awam, Jalur C – Kejuruteraan Mekanikal dan Jalur D – Kejuruteraan Petroleum dan Kimia.

    Kertas-kertas kerja yang itu nanti akan dibentangkan oleh pembentang-pembentang dari Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, China, India, Kazakhstan, Malaysia, Nigeria, Oman, Pakistan, Sri Lanka, Vietnam dan United Kingdom.

    Dua orang penceramah jemputan juga membentangkan kertas kerja mereka iaitu Profesor dan Ketua Bersekutu di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Hong Kong dengan tajuknya ‘Urbanisation and Decarbonisation – Contradictory or Complementary?’ dan Profesor Penyelidikan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, Malaysia, Profesor Dr Farid Nasir bin Ani dengan tajuk kertas kerja ‘Thermal Processing of Bioresources using Microwave Heating’.

    UTB merupakan penganjur utama BICET manakala itu, Institusi Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Brunei Darussalam sebagai rakan teknikal dan tahun ini, BICET ditaja oleh Petrokon Utama Sdn Bhd sebagai penaja emas; Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Brunei LNG Sdn Bhd sebagai penaja perak; Aisha Automation Company (AAC), Berakas Power Management Company Sdn Bhd (BPMC), Bion Hoe Sdn Bhd, QESS Energy Support Services Sdn Bhd, PTD Technology dan Insurans Islam Taib General Takaful sebagai penaja gangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda