Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Persidangan dan Pameran Masa Depan Digital (DFCE) yang berlangsung di Indera Samudera Hall, The Empire Brunei, diteruskan lagi hari ini dengan membawakan beberapa topik dan pakar dari dalam dan luar negara bagi membincang serta mengongsikan isu berkaitan data dan inovasi.
Dianjurkan bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023, DFCE dihadiri oleh lebih 100 peserta terdiri daripada wakil tempatan dan antarabangsa daripada kerajaan, badan berkanun, sektor swasta termasuk industri ICT dan institut pengajian tinggi (IPT).
Antara yang hadir bagi mendengarkan persidangan tersebut pada sebelah petang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee.
Sesi petang dimulakan dengan menampilkan Pengarah Kanan ASEAN Technologies Solutions yang juga dari Oracle Corporation, Derek Lam yang membentangkan topik mengenai Data Harmonization.
Dalam pembentangannya, beliau mengongsikan dapatan kes yang diperoleh di luar negara dan bagaimana negara-negara tersebut mengukuhkan ekonomi digital mereka.


Derek berkongsi perjalanan Oracle dalam membantu kerajaan-kerajaan mencapai perjalanan Negara Pintar mereka, termasuk menyediakan asas untuk platform Next-Gen Intelligent seperti Distributed Cloud baharu untuk Bandar Pintar, dan beliau berkongsi contoh di mana Kesultanan Oman memulakan perjalanan Dedicated Region Cloud@Customer (DRCC) dengan Oracle.
Sejurus itu, sesi perbincangan diteruskan dengan menampilkan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Ketua Inovasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PGI-Data, Kaustabh Roy; dan Pengarah Urusan Shell Exploration and Production Brunei, Marten Adema.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Awang Rudy Haji Harun bertindak sebagai moderator dalam perbincangan yang bertajuk Unlocking Innovation Through Data.
Dalam landskap digital yang sentiasa berkembang, perbincangan keselamatan siber memfokuskan pada ancaman terbaharu yang muncul, penyelesaian inovatif bagi melindungi cabaran ini.
Awang Adi Shamsul dalam sesi perbincangan panel tersebut antara lain mengongsikan bagaimana persekitaran perbankan menggunakan teknologi memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Sesi petang turut diisikan dengan pembentangan mengenai Unleashing The Power of AI with Telco Data, dan Business: Forefront of the Future sebelum diakhiri dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh Pengerusi InfoCom Federation Brunei, Pengiran Sarimah Pengiran Haji Abdul Latiff.

