Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Dengan mengetengahkan tema Inovasi Digital bagi Pembangunan Mampan, Persidangan Masa Depan Digital 2024 (DFC 2024) membincangkan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai industri dan kepentingan sekuriti siber dalam dunia kita yang semakin digital.
Seramai lebih 350 orang peserta terdiri daripada profesional tempatan dan luar negara, pemimpin pemikir dan inovator daripada sektor awam dan swasta menghadiri DFC 2024 yang berlangsung di Dewan Bankuet, BRIDEX, Jerudong bermula hari ini hingga 31
Julai.
Persidangan yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dengan kerjasama Cyber Security Brunei (CSB), ITPSS Sdn Bhd dan Pocket diadakan bersempena Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Negara Brunei Darussalam (Brunei MYCE).
Perasmian persidangan selama dua hari berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar menyatakan bahawa DFC 2024 mengetengahkan contoh AI dan sekuriti siber dunia sebenar di mana ia menyediakan pandangan yang berguna untuk merangsang kita berfikir secara kreatif mengenai bagaimana kita boleh memanfaatkan inovasi digital bagi memajukan kemampanan, meningkatkan sekuriti dan memupuk perkembangan inklusif.
Hari pertama persidangan berkenaan mengetengahkan barisan pelbagai penceramah dan sesi termasuk sesi panel perbinca-ngan bertajuk Digital Innovation and Sustanability, yang mengete-ngahkan ahli panel terdiri daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), Chris Phan; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar; Ketua Pegawai Informasi Bank Baiduri, Simon Hansman; dan Ketua Unit Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), Jabatan Perdana Menteri, Awang Yusri bin Yahya.
Sesi perbincangan berkenaan menerokai bagaimana kemajuan teknologi digital dapat menangani cabaran kemampanan dan menyumbang kepada matlamat ekonomi, sosial dan alam sekitar di negara ini.
Sementara itu, pembentangan mengenai dengan peranan AI dalam pembangunan mampan yang menumpukan kepada aplikasinya dalam penjagaan kesihatan, pertanian dan penghasilan makanan mampan telah disampaikan oleh Pengurus Besar EVYD Technologies, Abby Tan dan pemilik Harvest Moon Farm, Haji Muhammad Zulfadhli Ibnu bin Haji Mohd
Huzaimi.
Persidangan itu juga menyaksikan pembentangan khas bertajuk Malaysia’s Digital Investment Journey, yang disampaikan oleh Ketua Pejabat Pelaburan Digital, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), Raymond Siva di mana beliau menggarisikan transformasi digital Malaysia sejak 1996.
Selain daripada sesi perbinca-ngan dan pembentangan, DFC 2024 juga mengetengahkan pameran mini yang disertai oleh AITI, ITPSS Sdn Bhd, Makmal Inovasi Brunei (BIL), UNN, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd, BIPO Service (BN) Sdn Bhd, Flexxon Pte Ltd dan Bank Standard Chartered.