Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Rombongan seramai 29 orang tenaga akademik Fakulti Syariah dan Undang-undang serta pelajar siswazah sarjana dan doktor falsafah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Persidangan Antarabangsa Syariah dan Undang-undang (ICONSYAL 2023) yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Selangor Malaysia.
Persidangan dianjurkan oleh Universiti Islam Selangor (UIS), Malaysia dengan kolaborasi UNISSA; Universiti Islam Negeri Raden Mas Said, Surakarta, Indonesia; Yayasan Policy and Economic Affairs Centre of Malaysia (PEACE); Permodalan Wakaf Malaysia (PWS); dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan KUISCELL, UIS.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Tuan Yang Terutama Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.
Persidangan antarabangsa kali ini mengetengahkan tema Ke Arah Penyelesaian Mampan dalam Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup Global dengan kepelbagaian bidang yang boleh dirangkumi bersama.
Antara tujuannya adalah untuk mempergiatkan usaha dalam memperkasa budaya ilmu khususnya dalam kalangan pegawai akademik dan industri bagi menghasilkan penyelidikan, penulisan serta penerbitan ilmiah yang memberikan impak kepada nilai-nilai keilmuan di samping mewujudkan ruang untuk berwacana secara ilmiah.
Seramai 137 orang peserta membentang secara bersemuka dan secara maya dalam kalangan cendekiawan terdiri daripada para pakar, ahli akademik, wakil agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pelbagai bidang terutamanya Syariah dan Perundangan Islam.
Rombongan UNISSA diketuai oleh Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Profesor Dato Dr Zulkifly bin Muda.
Majlis perasmian persidangan antarabangsa diakhiri dengan penyampaian kertas kerja dan poster terbaik di mana Dr Azme bin Haji Matali dari UNISSA berjaya dinobatkan sebagai pemenang ketiga dalam kategori kertas kerja terbaik.