BANDAR PANAMA, 3 MAC – Persidangan global untuk menyelamatkan lautan di dunia, Persidangan Lautan Kita, bermula semalam di Panama bersama desakan supaya perjanjian perlindungan antarabangsa diterima pakai, manakala Amerika Syarikat (AS) serta Kesatuan Eropah (EU) berikrar untuk menyumbang dana berbilion dolar bagi penyelidikan, pemantauan dan pemuliharaan.
Pemimpin politik dan perniagaan, aktivis alam sekitar dan ahli akademik yang menghadiri persidangan dua hari itu memfokus ke arah mencapai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai ancaman dihadapi lautan, daripada kemelut perubahan iklim dan pencemaran sehinggalah kepada penangkapan ikan secara berlebihan serta perlombongan.
“Persidangan Lautan Kita adalah sangat penting kerana ia tertumpu kepada tindakan dan bukannya ‘kata-kata’. Ia adalah mengenai komitmen dan penyelesaian sebenar,” kata perwakilan iklim dari Rumah Putih, John Kerry, pada pembukaan mesyuarat itu.
AS sekali gus mengumumkan komitmen hampir AS$6 bilion untuk 77 projek melindungi laut lepas pada 2023, termasuk kerjasama teknikal bagi memudahkan ‘koridor perkapalan hijau’.
Dengan semangat sama, EU mengumumkan akan mendedikasikan 816.5 juta euro (AS$865 juta) kepada projek berkaitan lautan, tahun ini.
Sebahagian besar dana EU itu, iaitu sebanyak 320 juta euro akan disalurkan kepada penyelidikan untuk melindungi biodiversiti marin dan menangani kesan perubahan iklim terhadap laut, manakala 250 juta euro pula bagi membantu melancarkan satelit Sentinel-1C untuk melakukan pemerhatian terhadap pencairan air serta memantau kesan perubahan iklim.
“Lautan adalah sebahagian daripada kita dan ia adalah tanggungjawab bersama,” kata Pesuruhjaya Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan EU, Virginijus Sinkevicius, dalam satu kenyataan. – AFP
