Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Dalam konteks dunia moden yang mana kecerdasan buatan (AI) sedang digunakan secara meluas, maka menjana semula pendidikan untuk masa depan yang dinamik perlu diambil perhatian oleh semua pihak.
“Menjana semula pendidikan berlaku dengan meneroka dan memperbaharui aspek-aspek kependidikan yang melibatkan pembaharuan kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, penggunaan teknologi, latihan guru serta cara penilaian pelajar, agar generasi masa depan bersedia menghadapi perubahan dan cabaran dunia moden dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan.”
Penekanan itu dibuat oleh Dekan, Fakulti Pendidikan Sains dan Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Professor Madya Dr Muhamad Zahiri bin Awang Mat, selaku pengerusi bersama persidangan dalam ucapan alu-aluannya di Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Ke-35, 2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.

Persidangan yang diadakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik dengan kerjasama Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (IPSHB) dan KUPU SB, dihadiri oleh seramai 600 peserta dan tetamu yang terdiri daripada para pendidik dari sekolah kerajaan dan swasta serta wakil institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Dalam ucapannya lagi, Profesor Madya Dr Muhamad Zahiri berkata usaha itu bertujuan untuk menjadikan pendidikan lebih berkesan, inklusif dan responsif kepada keperluan semasa dan masa depan terutamanya di dunia masa hadapan yang sentiasa berubah.

Namun pada masa yang sama, tekannya lagi, aspek nilai dan kemurnian pendidikan kebangsaan berteraskan Melayu Islam Beraja serta selari dengan Wawasan Brunei 2035 tetap menjadi asas.
Acara diteruskan dengan penyampaian ucaptama bertajuk Reimagining Education: Why Now is the Time? oleh Profesor dalam Kepimpinan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dari University of Melbourne, Professor Pasi Sahlberg yang berhujah mengenai keperluan melaksanakan perubahan berasaskan data antarabangsa.
Beliau turut memperkenalkan konsep Paradoks AI yang signifikan, menekankan risiko mendidik robot kelas kedua. Dalam konteks itu, beliau mengetengahkan keperluan peralihan daripada pendekatan tradisional, pengajaran sebagai transmisi, kepada model pendidikan yang lebih transformatif, sekali gus memupuk rasa kekitaan, rasa ingin tahu dan kreativiti dalam kalangan pelajar.

Hari kedua persidangan akan diteruskan dengan penyampaian ucaptama bertajuk Artificial Intelligence in Islamic Education/Malaysia Madani, oleh Timbalan Rektor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Professor Dato’ Dr Mohamad Fauzan, yang akan meneroka integrasi AI dalam pendidikan Islam berteraskan nilai. Persidangan akan disusuli dengan sesi Learning Circle, diikuti dengan 70 pembentangan kertas penyelidikan selari, 10 bengkel interaktif dan 10 pameran poster digital (e-poster).
Persidangan Hari Guru bermatlamat untuk memacu transformasi pendidikan yang berkualiti dan lestari dengan menyediakan platform dinamik kepada para pendidik untuk berkongsi wawasan berasaskan bukti serta amalan pedagogi inovatif.
Semua di atas: Antara peserta yang hadir ke persidangan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
Persidangan berkenaan menumpukan perbincangan kepada 29 sub-tema yang dikategorikan di bawah tiga teras utama iaitu Memperkasakan Pelajar untuk Masa Depan; Menginovasi Ekosistem Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.
Hasil persidangan berkenaan diharapkan dapat memperkasakan guru-guru sebagai pemangkin perubahan, selari dengan usaha ke arah transformasi pendidikan yang berteraskan nilai dan berteraskan insan (human-centric) di Negara Brunei Darussalam.

