Oleh Syahmi Hassan –
NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, 18 JULAI – Delegasi Negara Brunei Darussalam kini sedang menghadiri Persidangan High-Level Political Forum on Sustainable Development (HLPF) 2023 yang berjalan dari 10 hingga 20 Julai di New York, Amerika Syarikat (AS).
Ia termasuk segmen menteri selama tiga hari dan segmen peringkat tinggi bagi Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (ECOSOC) bermula kelmarin hingga 20 Julai ini, yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Amin Liew bin Abdullah.
Di bawah tema ‘Mempercepatkan Pemulihan daripada COVID-19 dan Pelaksanaan Agenda 2030 Sepenuhnya untuk Pembangunan Mampan di Semua Peringkat’, HLPF 2023 menilai pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara mendalam, khususnya matlamat ke-6 (Air Bersih dan Sanitasi), ke-7 (Tenaga yang Berpatutan dan Bersih), ke-9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), ke-11 (Bandar dan Komuniti Mampan), dan ke-17 (Perkongsian untuk Matlamat).
Acara sampingan juga diadakan secara serentak, antaranya Voluntary National Review (VNR) Labs sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dalam penyediaan VNR.
Delegasi negara telah dijemput sebagai ahli panel untuk mengongsikan pengalaman dalam penggunaan dan penganalisaan data dalam VNR.

Kelmarin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Amin Liew telah menyampaikan kenyataan Negara Brunei Darussalam untuk Perbahasan Umum pada Segmen Menteri HLPF 2023, yang fokus kepada membina momentum bagi Sidang Kemuncak SDG pada September 2023 dengan ketua-ketua negara.
Dalam menyahut seruan bagi memperbaharui cita-cita global untuk masa depan yang mampan, Yang Berhormat Dato telah mengongsikan beberapa perkara penting.
Menurut beliau, komuniti global mesti berusaha untuk mewujudkan tindakan penyelesaian bersama dengan membina perkongsian yang kukuh dan berdaya tahan, demi memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan.
Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato menyaran-kan bagi ekosistem global SDG untuk diperkukuhkan terutamanya pemantauan dan penilaian untuk meningkatkan kefahaman berkenaan landskap pelaksanaan bagi mempercepatkan tindakan.
Yang Berhormat Dato juga mengetengahkan dukungan Negara Brunei Darussalam terhadap gesaan daripada Setiausaha Agung PBB bagi memperluaskan peluang dan kapasiti bagi mendapatkan akses kepada sumber yang diperlukan untuk mempercepatkan kemajuan SDG.
Akses sedemikian mesti dipermudahkan untuk merapatkan jurang pembangunan, mengukuhkan kemampanan dan memastikan pembangunan negara yang saksama bagi semua.
Dalam kesimpulannya, Yang Berhormat Dato menyatakan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama berusaha bagi memastikan dunia akan berada di landasan yang lebih baik dan lebih mampan.

