Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Seramai 256 peserta daripada sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perwakilan luar negara menghadiri persidangan anjuran Institut Perkhidmatan Awam yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Persidangan bersempena Hari Perkhidmatan Awam Kali ke-32 dengan membawakan tema, Transformasi Digital dan Inovasi Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Perkhidmatan Awam, turut dihadiri secara dalam talian oleh peserta daripada ASEAN Public Service Training Institutes (PSTI) Network.
Persidangan bermatlamat untuk membentangkan elemen transformasi digital dan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam, menekankan penggunaan aplikasi AI yang boleh meningkatkan kecekapan serta memudahkan proses kerja harian, berkongsi isu semasa dan amalan terbaik yang berkaitan dengan inovasi, transformasi digital dan AI dalam tadbir urus serta sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Sepanjang persidangan berkenaan, sebanyak lima pembentangan telah disampaikan iaitu empat pada sesi pagi dan satu pembentangan pada sesi petang, sebelum diteruskan dengan forum panel.
Para pembentang terdiri daripada pengamal serta pakar tempatan dan antarabangsa dari Singapura, Estonia dan India.
Pada sesi pagi, persidangan dihadiri oleh Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.


Persidangan pada sesi pagi menampilkan pembentangan bertajuk, AI in the Public Service yang disampaikan oleh mantan Menteri Singapura, Profesor Yaacob bin Ibrahim, yang kini merupakan Adjunct Professor, Lee Kuan Yew School of Public Policy dan Professor of Engineering, Singapore Institute of Technology.

Sementara itu, Pengarah AI dan Data di Digital Nation dari Estonia, Sigrit Siht, membentangkan mengenai tajuk, How to Make the Brunei Government AI-Powered: Insights from Estonia and Beyond yang mana beliau mengambil pengajaran daripada pengalaman transformasi digital Estonia.
Selain itu, Distinguished Professor, Management Development Institute dari India, Profesor Prajapati Trivedi, pula membentangkan mengenai AI and Performance Management, yang mana beliau mengongsi cara AI boleh meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti dalam operasi kerajaan.
Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee, menyampaikan tajuk penuh inspirasi kepada para peserta iaitu From Curiosity to Capability: Cultivating an AI-Driven Mindset, di mana beliau menekankan kepentingan memupuk kesediaan dan kebolehsuaian dalam era AI.


Hadir pada sesi petang adalah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha yang turut menyaksikan pembentangan bertajuk, From Data to Discovery: AI as a Catalyst in Modern Healthcare, oleh Pengurus Besar EVYD Technology, Dr Abby Tan dan diikuti dengan sesi panel forum yang dikendalikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

