Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan, dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Poni Group Sdn Bhd, secara rasmi memulakan Persidangan Hutan ke Terumbu Karang selama tiga hari di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Persidangan itu merupakan sebahagian daripada program Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2025 dan dijadualkan berlangsung mulai 17 hingga 19 Jun.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir ialah pesuruhjaya tinggi dan duta-duta besar, setiausaha tetap di KSSUP, naib canselor UBD, naib canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), timbalan-timbalan setiausaha tetap kementerian berkenaan, pegawai kanan kerajaan, wakil organisasi tempatan dan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, penyelidik, serta peserta persidangan daripada sektor swasta dan badan berkepentingan lain.
Sementara itu, ucapan utama disampaikan oleh Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Ismail Parlan, yang memberi fokus kepada peranan penting hutan bakau dalam perlindungan kawasan pesisir dan mitigasi perubahan iklim.
Beliau menerangkan fungsi ekologi hutan bakau yang meliputi kemampuan menahan sedimen, menyokong ketahanan terumbu karang, menjadi habitat pembiakan hidupan marin serta bertindak sebagai penyerap karbon biru yang efektif dengan kapasiti penyimpanan karbon jangka panjang dalam tanah.
Ucapan utama kedua pula disampaikan oleh Ketua Pegawai Pengembangan dan Pengasas Bersama Jejakin, Indonesia, Sudono Salim, yang memperkenalkan pendekatan inovatif menggunakan teknologi digital dalam pemantauan ekosistem karbon biru.
Melalui platform berkuasa kecerdasan buatan (AI) seperti CarbonAtlas, beliau menunjukkan bagaimana gabungan imej satelit, pemetaan dron dan penderia IoT boleh mentransformasikan usaha pemuliharaan hutan bakau menjadi penyelesaian iklim yang boleh disahkan dan diskalakan di peringkat ASEAN, sekali gus menyokong pasaran karbon sukarela serta sasaran iklim negara.
Persidangan itu juga mengadakan sesi tematik yang menumpukan kepada peranan ekosistem karbon biru dan hubungan sinergi antara hutan dan terumbu karang bagi pemuliharaan biodiversiti. Panel dan peserta dari dalam dan luar negara turut menyertai sesi tersebut bagi berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik.
Objektif utama persidangan adalah untuk menghubungkan penggubal dasar, ahli akademik dan pelbagai pihak berkepentingan dengan pemimpin biodiversiti global bagi bertukar pengetahuan, memperkukuh amalan pemuliharaan serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi biru dan hijau.
Fokus juga diberikan kepada pembangunan kapasiti, pendidikan, rangkaian profesional dan peluang ekonomi baharu dalam pemuliharaan biodiversiti serta penyesuaian iklim.
Persidangan akan dibahagikan kepada enam topik utama termasuk Peranan Ekosistem Karbon Biru, Sinergi Ekosistem: Menghubungkan Hutan dan Terumbu Karang untuk Pemuliharaan Biodiversiti, Inovasi dalam Pemantauan dan Pemulihan Ekosistem Hutan dan Pesisir, Penilaian Ekosistem:Ekonomi Perkhidmatan Ekosistem di Hutan dan Pesisir, Ekosistem Karbon Biru sebagai Penyelesaian Iklim dan Penemuan Ekspedisi Hutan ke Terumbu Karang.
Antara aktiviti sampingan ialah lawatan ke hutan bakau Sungai Damuan dan Pusat Penyelidikan Botani UBD, memberi peluang peserta merasai pengalaman langsung terhadap ekosistem dan usaha pemuliharaan negara.
Maklumat lanjut mengenai persidangan boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Jabatan Perhutanan di www.forestry.gov.bn dan Jabatan Perikanan di www.fisheries.gov.bn, serta media sosial Instagram @forestry.brunei dan @fisheries.brunei.