Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan IAP ke-29 bincang kedaulatan undang-undang

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Pejabat Pendakwa Negara Republik Azerbaijan telah menjadi tuan rumah Persidangan Tahunan dan Mesyuarat Agung Persekutuan Pendakwa Antarabangsa (IAP) ke-29 di Baku bermula dari 29 September hingga kelmarin.

    Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 470 orang pegawai pendakwa dan pakar undang-undang dari 95 buah negara untuk membincangkan peranan kritikal pegawai pendakwa dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keberkesanan sistem keadilan jenayah.

    Sehubungan itu, delegasi Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib.

    Tema persidangan berkenaan pada tahun ini, The Role of the Prosecutor in Upholding the Rule of Law memfokuskan kepada isu penting seperti ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan data, khususnya mengenai bukti digital dan penggunaan kecerdasan buatan. Topik utama yang dibincangkan semasa persidangan itu termasuk pendakwaan keganasan domestik dan berasaskan jantina, jenayah ekonomi dan pemulihan aset.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah turut mengadakan pertemuan dengan Pendakwa Negara Republik Azerbaijan, Dr Kamran Aliyev, bagi kepentingan menangani pelbagai isu undang-undang yang menjadi perhatian bersama dan juga menekankan keperluan untuk kerjasama antarabangsa dalam mengukuhkan kedaulatan undang-undang.

    Ditubuhkan pada Jun 1995 di Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Vienna, IAP ialah organisasi global penting yang terdiri daripada lebih 183 ahli organisasi dari lebih 177 buah negara. Ia memainkan peranan penting dalam mempromosikan kedaulatan undang-undang, meningkatkan standard profesional untuk pegawai pendakwa dan meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam memerangi jenayah.

    Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah (dua dari kiri) bersama delegasi Negara Brunei Darussalam semasa menghadiri Persidangan Tahunan dan Mesyuarat Agung IAP ke-29 di Baku, Azerbaijan – GAMBAR SERAHAN PEJABAT PEGUAM NEGARA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda