Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan ICAPP 2025 dirasmikan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Guru Asia Tenggara (AsTEN) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Psikologi Gunaan dan Pedagogi 2025 (ICAPP 2025) selama dua hari dengan majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

    Bertemakan Pendidikan Guru Berteraskan Psikologi dan Pedagogi Abad ke-21, ICAPP 2025 merupakan kesinambungan daripada Persidangan Antarabangsa Psikologi dan Pedagogi 2024 (ICOPP 2024) yang telah diadakan tahun lepas.

    Persidangan bersempena Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025 itu dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat.

    Yang Berhormat Pehin antaranya berkata penganjuran ICAPP 2025 merupakan wadah ilmu yang boleh memberikan kefahaman yang jelas kepada guru-guru dan bakal guru tentang ilmu psikologi dan pedagogi serta mempertingkatkan kemahiran mereka dalam kedua-dua bidang ilmu tersebut.

    Menurut beliau lagi, apa yang diharapkan supaya guru-guru di Negara Brunei Darussalam berupaya mengaplikasikan amalan psikologi dan pedagogi dan seterusnya mampu mengintegrasikan kedua-dua ilmu tersebut dalam kerjaya mereka dengan baik dan berkesan dalam misi mereka sebagai guru untuk melahirkan generasi berwawasan yang mampu mendepani cabaran-cabaran masa hadapan yang lebih kompleks dan lagi mencabar.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada Majlis Perasmian ICAPP 2025 anjuran KUPU SB dengan kerjasama AsTEN yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan, Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, KUPU SB, Profesor Madya Dr Mohammad Shahril bin Ahmad Razimi yang juga selaku Pengerusi ICAPP 2025 antaranya menjelaskan ICAPP 2025 diungkayahkan untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam kalangan pakar dan warga pendidik dalam memahami kepentingan psikologi sebagai asas amalan pedagogi berkesan.

    Selain itu, penganjuran persidangan itu juga bertujuan untuk membentuk kefahaman atau tasawwur yang jelas dalam kalangan guru dan mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan tentang psikologi gunaan dan hubungannya dengan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

    Ia juga bermatlamat untuk menjadikan psikologi Islam sebagai asas amalan pedagogi dalam kalangan guru dan mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan, di samping memberi peluang kepada peserta membincangkan kaedah terbaik aplikasi psikologi dalam pendidikan.

    Dalam pada itu, Profesor Madya Dr Mohammad Shahril antaranya berkongsi sebuah pembentangan kertas perdana dan dua buah pembentangan ucaptama serta seramai 57 orang pembentang terdiri daripada kalangan pakar dan ahli akademik dalam dan luar negara akan membentangkan kertas kerja mereka dalam sesi sehari persidangan ini.

    Persidangan itu juga, katanya, telah menarik minat seramai 130 orang peserta yang terdiri daripada para penggubal dasar, warga pendidik, ahli psikologi dan mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan.

    Menurutnya lagi, menerusi persidangan tersebut, KUPU SB akan terus memainkan peranan penting sebagai institusi pendidikan guru yang dapat melahirkan pendidik dan insan yang berkualiti demi kemajuan ugama, bangsa dan negara sejajar dengan visi, misi dan matlamat penubuhannya.

    Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan duta-duta besar negara-negara ASEAN; timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap KHEU; ketua-ketua delegasi AsTEN; pegawai dan kakitangan kerajaan serta para pembentang dan peserta persidangan.

    Majlis itu turut diserikan dengan pembentangan kertas perdana bertajuk Kembali Imararahkan Roh, Jiwa dan Nilai Pendidikan Guru ASEAN yang disampaikan oleh Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Malaysia, Profesor Madya Dr Ridzuan bin Che Rus yang juga selaku wakil Naib Canselor UPSI.

    Sempena ICAPP 2025 ini juga, Mesyuarat Ketua-ketua AsTEN kali ke-19 turut diadakan.

    Adapun AsTEN dianggotai oleh rangkaian institusi pendidikan guru di negara-negara ASEAN dalam usaha untuk menangani isu dan cabaran yang berkaitan dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru dalam ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda