Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Dalam usaha untuk mengukuhkan dasar-dasar dan polisi pembangunan orang kelainan upaya (OKU) senegara, mewujudkan peluang yang saksama bagi OKU serta pentingnya kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan masyarakat, Persidangan Kebangsaan Pertama bagi OKU di Negara Brunei Darussalam yang diadakan selama dua hari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, melabuhkan tirainya hari ini.
Sehubungan dengan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis penutup persidangan berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Presiden Majlis Kebangsaan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Malai @Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah; para anggota Kor Diplomatik dan pegawai kanan dari KKBS serta organisasi rakan kerjasama.
Pada majlis itu, Malai @Sharifah Adila Surya membentangkan hasil utama dan cadangan yang dibincangkan semasa persidangan berkenaan.
Resolusi itu mengiktiraf hak OKU selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak OKU (CRPD) dan Pelan Induk Pemerkasaan ASEAN 2025 serta mengakui kemajuan Brunei Darussalam dalam melaksanakan dasar inklusif.
Walau bagaimanapun, cabaran masih wujud, termasuk stigma, kekurangan data dan halangan dalam pendidikan dan pekerjaan.
Berinspirasikan amalan inovatif yang dikongsi semasa Persidangan Kebangsaan Pertama untuk OKU, resolusi itu mencadangkan enam tindakan utama iaitu memperkukuh intervensi awal dan sokongan sepanjang hayat, menggalakkan pendidikan dan pekerjaan yang inklusif, membina kerjasama rentas sektor, menangani stigma dan meningkatkan representasi, memanfaatkan teknologi dan inovasi serta memajukan dasar di peringkat nasional dan serantau.
Acara diteruskan dengan penyerahan resolusi persidangan oleh Malai @Sharifah Adila Surya kepada Hajah Nor Ashikin.
Terdahulu pada hari kedua persidangan, para peserta terlibat dalam sesi panel, bengkel interaktif, dan sesi perundingan bersama pakar tempatan dan antarabangsa.
Topik yang telah dibincangkan adalah Kejayaan Pengambilan Pekerja OKU yang dikendalikan oleh Setiausaha Persatuan Amerika Syarikat di Brunei, Amar Syahirah binti Haji Abdul Murad dan ahli-ahli sesi terdiri daripada Pengasas Parakerja dari Indonesia, Tuan Rezki Achyana, Pengerusi ASEAN Disability Forum (ADF) dan Bendahari Kehormat International Disability Alliance (IDA), Tuan PT Lim Puay Tiak serta Ketua Pembangunan Bakat, DST Managed Services Sdn Bhd (DMS), Dr. Shamsulbaharin bin Haji Abdul Rahman.
Sesi itu membincangkan mengenai amalan terbaik dan kisah kejayaan dalam pengambilan pekerja-pekerja OKU di Negara Brunei Darussalam melalui DMS, Indonesia dan Singapura.
Bagi topik, Menjalankan Perusahaan Sosial untuk OKU, ia dikendalikan oleh Presiden Majlis Belia Brunei, Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dengan ahli-ahli sesi berkenaan iaitu Persiden MKOKU), Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER dan Kafe BJAK, Malai @Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah, ahli Jawatankuasa Biro Latihan Kerja dan Keusahawanan, ahli Persatuan Paraplegic and Physically Handicapped Association (PAPDA) dan pemilik Butik Zulaishah, Naslaila binti Haji Abdul Ghani serta Pengarah dan Penyelidik Utama di Great Lakes American with Disabilities Act (ADA) Center, Amerika Syarikat, Puan Robin Ann Jones.
Sesi itu membincangkan mengenai kepentingan dan cara-cara membangunkan persekitaran kerja yang mudah diakses OKU melalui keusahawanan, pematuhan undang-undang menggunakan model perusahaan sosial dari ADA serta menggalakkan integrasi komuniti bersama OKU dengan contoh perusahaan sosial yang sedia ada seperti Kafe BJAK dan Butik Zulaishah.
Panel Perbincangan 6 yang bertajuk, Memahami dan Melaksanakan Konvensyen mengenai Hak OKU (CRPD) di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dikendalikan oleh Malai @Sharifah Adila Surya, Pengarah Eksekutif, National Council for the Blind, Malaysia, Tuan Wong Yoon Loong dan Tuan PT Lim Puay Tiak.
Perbincangan itu mengupas kepentingan memahami dan membina polisi serta dasar yang mengambil kira hak-hak OKU yang tersedia di bawah CRPD bagi memastikan pembangunan, penglibatan dan kesejahteraan OKU terjaga.
Pada Sesi Konsultasi bertajuk, Startup to Scale: Embedding Accessibility for Long-Term Social Enterprise Growth, dilaksanakan oleh Robin Ann Jones, ia merupakan platform bagi pemilik-pemilik keusahawanan, perusahaan sosial, pemimpin perniagaan, kerajaan, pengasas yayasan, profesion sumber manusia dan kumpulan advokasi OKU untuk membincangkan pelbagai cabaran dan peluang yang dialami dalam membangunkan perusahaan sosial yang mengambil kerja OKU.
Sesi konsultasi itu juga meneroka cara-cara yang boleh dipraktikkan bagi integrasi pematuhan ADA, model-model pekerjaan dan reka bentuk tempat kerja yang mesra OKU.
Manakala itu, pada sesi Breakout daripada pakar-pakar antarabangsa, menyentuh kepada memahami mempraktikkan Marakkesh Treaty bagi meningkatkan akses makluman bagi OKU Penglihatan disampaikan oleh Tuan Wong Yoon Loong, membina Perkongsian Awam-Swasta (PPP) untuk Pembangunan Tenaga Kerja OKU yang disampaikan oleh Puan Robin Ann Jones serta mengongsi pengalaman cara-cara mendukung OKU dalam proses pengambilan kerja yang disampaikan oleh Tuan Rezki Achyana.
Bagi topik mengenai Perlindungan OKU daripada Penderaan, ia disampaikan oleh Pemangku Ketua Unit Siasatan Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, DSP Hajah Nur Amni Alyani binti Haji Abdul Rahman dan Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Orang Kelainan Upaya, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Nurul Nazurah binti Jaya di mana ia membincangkan kaedah-kaedah mengenal pasti jenis-jenis penderaan terhadap OKU, cara melaporkan dan pencegahan daripada kelakuan penderaan daripada segi fizikal, emosi, seksual, kewangan dan pengabaian terhadap OKU serta juga peranan undang-undang dan sokongan sosial yang tersedia.
Manakala itu, bagi topik Keibubapaan: Membesarkan Anak Kelainan Upaya, yang disampaikan oleh Kaunselor di Clarity Sdn Bhd dan Pengasas Cure Heart, Hajah Norajleen Uminatul Hafizah Haji Alimas dan Pengasas Autism Without Borders Brunei, Linda Ibrahim, ia mengongsi pandangan dan sokongan emosi kepada ibu bapa mengenai cabaran-cabaran menjaga serta membesarkan anak-anak OKU seperti kanak-kanak yang mengalami Autisme.
Bagi sesi Konsultasi Industri: Penyelesaian Dipimpin Majikan untuk Pertumbuhan Tenaga Kerja, yang disampaikan oleh Puan Robin Ann Jones, ia menjadi platform perbincangan di antara majikan-majikan, pemimpin perniagaan (business leaders) dan rakan-rakan strategik dalam meneroka strategi-strategi pengambilan pekerjaan OKU untuk menangani jurang-jurang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Persidangan menyeluruh itu bermatlamat untuk membina kerangka inklusif melalui pendekatan praktikal, perundangan, sosial dan kerjasama demi pemerkasaan OKU dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan hak-hak OKU.