Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Pusat Sains Neuro, Strok dan Rehabilitasi Brunei (BNSRC) hari ini telah merasmikan persidangan pertamanya, BNSRC Frontiers 2019 – New Horizons yang diadakan di Lecture Theatre, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar yang juga selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah PJSC.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin yang juga ahli Lembaga Pengarah PJSC; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; dan Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.
Persidangan antarabangsa yang bermula pada 1 November dan berakhir hari ini itu menampilkan lebih 200 penceramah antarabangsa dalam bidang neurologi, neurosurgeri, perubatan neurologi dan rehabilitasi yang berbeza dari Australia, Kanada, Malaysia, India, Singapura, United Kingdom dan juga Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam ucapannya antara lain mengongsikan bahawa BNSRC yang ditubuhkan pada 2010 sebagai pusat pakar strok dan sejak tahun 2018, berkembang menjadi pusat sehenti neurologi, pembedahan saraf dan pusat pemulihan selepas integrasi dengan perkhidmatan dari Kementerian Kesihatan, menawarkan pelbagai infrastruktur dan kepakaran yang komprehensif.

“Dalam masa setahun, BNSRC menerima peningkatan sebanyak lima kali ganda dalam kemasukan pesakit akut manakala jumlah pesakit luar meningkat sebanyak 20 kali ganda. Selain mempunyai penjagaan khusus untuk strok, sakit kepala, epilepsi, gangguan neurootot, neurodegenerative dan neuroinflammatory, pelbagai pembedahan saraf dan pembedahan tulang belakang juga dilakukan di BNSRC,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.
Selain itu, menurutnya, intervensi endovaskular kompleks juga berjaya dilakukan.
Bagi perkhidmatan pemulihan, Yang Berhormat Dato berpendapat bahawa skop perkhidmatan yang ditawarkan di BNSRC menjadi salah satu pusat yang sangat sedikit di Asia Tenggara untuk menawarkan terapi robotik.
Di samping itu, BNSRC sedang dalam perjalanan untuk membangunkan kapasiti penyelidikan dan menawarkan peluang latihan dalam pelbagai bidang profesional penjagaan kesihatan.
“Walaupun ubat-ubatan sudah begitu maju, adalah penting bahawa penyakit dapat dicegah, dikurangkan dan dirawat jauh lebih baik daripada kita dapati hari ini. Persidangan seperti ini adalah penting untuk berkongsi idea-idea baharu, membangunkan laluan klinikal inovatif dan minda terbuka,” tekannya.
Persidangan itu merangkumi beberapa bengkel seperti bengkel Masterclass BNSRC, pemulihan, Transkranial Doppler dan Injeksi Botulinum Toxin yang merangkumi topik seperti sakit belakang, sakit kepala, sakit leher, demensia, kecederaan tulang belakang dan sebagainya.