Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Brunei Darussalam pada tahun ini menjadi tuan rumah bagi mengendalikan Sidang Ke-28 Mastera, 2024.
Sehubungan itu, satu persidangan sedang berlangsung bermula selama 2 hari bermula hari ini hingga 3 Oktober dan diadakan di Bilik Mesyuarat 4, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.
Sidang berkenaan telah dibuka rasmi oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, selaku Pengerusi Mastera Brunei Darussalam kelmarin.
Dayang Hajah Haireni dalam ucapan perasmiannya, antara lain menjelaskan, pelaksanaan Mastera sangat mencabar, baik daripada aspek perancangan, pelaksanaan dan pengurusan, namun banyak projek kesusasteraan telah dilaksanakan dengan jayanya hasil daripada teguhnya kesepakatan bersama antara negara anggota Mastera.
Beliau seterusnya berharap agar Mastera terus giat mencapai matlamatnya seiring dengan Pelan Strategik Mastera 2023 – 2027 yang bertujuan untuk memantapkan dan memastikan lagi penyelarasan pelaksanaan seterusnya keberkesanan acara-acara Mastera untuk jangka masa panjang.
Dengan perkembangan dan kemajuan dunia pada hari ini, tambahnya, Mastera perlu menggandakan usaha mempromosikan dan memperkenalkan semua produk Mastera bukan sahaja di peringkat rantau Mastera malah peringkat sejagat.
“Keberhasilan ini nanti tidak lepas daripada komitmen kerjasama di antara negara-negara anggota Mastera dalam membincangkan, membahaskan dan mengesahkan usulan rancangan-rancangan strategik Mastera dengan teliti dan sepakat,” jelasnya.
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh perwakilan negara anggota Mastera iaitu Pemangku Timbalan Pengarah selaku Timbalan Pengerusi Mastera Brunei Darussalam, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Raden; Pemangku Ketua Bahagian Sastera dan Majalah dan juga selaku Setiausaha Mastera Brunei Darussalam, Dayang Wathiqah Amirah binti Haji Wasli; Wakil Ketua Mastera Indonesia, Hafidz Muksin; Pengerusi Mastera Malaysia, YBrs Dr Hazami bin Jahari dan Pengerusi Mastera Singapura, Dr Azhar Ibrahim.
Sidang Mastera adalah projek kerjasama kesusasteraan di peringkat rantau Mastera yang dianggotai oleh Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Mesyuarat berkenaan merupakan pertemuan perwakilan negara anggota dan pakar Mastera setiap tahun secara bergilir bagi membincang, menyelaras, mengemas kini dan memutuskan pelaksanaan program dan projek Mastera di negara masing-masing, sekali gus membuat persediaan dan persiapan bagi Sidang Ke-29 Mastera, 2025 di Singapura nanti.