Persidangan maya bincang isu serantau hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Sebagai langkah berjaga-jaga dalam mencegah dan menangani penularan pandemik COVID-19, ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN akan mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan melalui persidangan video, esok (26 Jun).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menyertai para pemimpin ASEAN yang lain bagi sidang kemuncak tersebut.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa sidang kemuncak yang membawa tema Cohesive and Responsive ASEAN itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc selaku pengerusi ASEAN bagi 2020.

Sidang kemuncak memfokuskan kepada keperluan rantau ASEAN untuk mendukung perpaduan dan mengukuhkan lagi ASEAN dalam memajukan kesalinghubungan ekonomi, memupuk nilai-nilai dan identiti ASEAN dan meningkatkan lagi kecekapan ASEAN dalam mempromosikan perkongsian-perkongsian di komuniti global di samping untuk lebih proaktif dan kreatif terhadap peluang-peluang dan cabaran-cabaran situasi serantau dan antarabangsa.

Kali terakhir para pemimpin ASEAN bertemu secara maya adalah semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai Wabak COVID-19 pada April lalu.