Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan NCD 2025 berakhir dengan jayanya

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kerjasama berterusan antara para profesional kesihatan, institusi dan komuniti adalah amat penting dalam menangani isu penyakit-penyakit tidak berjangkit serta memupuk kesejahteraan secara menyeluruh.

    Penekanan itu dibuat oleh Penyelaras Bersama Jawatankuasa Program Saintifik, Pengiran Dr Nur Ashikin binti Pengiran Dato Paduka Haji Tengah dalam ucapan penutupnya di Majlis Penutup Pameran dan Persidangan Antarabangsa NCD 2025, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.

    Hadir pada majlis penutup berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff .

    Pengiran Mohammad Khiruddin menyampaikan anugerah kepada salah seorang pemenang.
    Pengiran Mohammad Khiruddin bergambar-ramai dengan para pemenang pembentangan lisan terbaik.

    Dalam ucapan Pengiran Dr Nur Ashikin berkata, “Pameran dan Persidangan NCD 2025 menandakan kejayaan acara sulung yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kesihatan, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Gleneagles JPMC”.

    Pada majlis berkenaan, Pengiran Mohammad Khiruddin telah menyempurnakan penyampaian anugerah kepada tiga pembentangan poster terbaik dan tiga finalis pembentangan lisan terbaik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan penyelidikan para peserta sepanjang persidangan berkenaan.

    Pameran dan Persidangan Antarabangsa NCD 2025 melabuhkan tirainya, selepas lima hari penuh dengan pelbagai program bermanfaat, sesi ceramah interaktif serta aktiviti yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Sejak dirasmikan pada 8 Oktober lalu, persidangan dan pameran itu telah menarik purata 3,000 hingga 4,000 pengunjung setiap hari, termasuk para profesional kesihatan, pelajar, keluarga serta orang awam.

    Kehadiran yang menggalakkan berkenaan mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat terhadap kesedaran kesihatan serta sokongan padu terhadap usaha berterusan negara dalam menangani NCD melalui pencegahan, pendidikan dan pengesanan awal dengan tumpuan kepada tema, Menghubungkan Penjagaan Kesihatan dan Komuniti.

    Sepanjang lima hari penganjuran, para peserta telah menikmati pelbagai aktiviti termasuk ceramah kesihatan oleh pakar, pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti kesejahteraan interaktif serta pameran daripada lebih 40 organisasi tempatan dan antarabangsa.

    Di antara yang menghadiri majlis penutup persidangan dan pameran kelmarin.
    GAMBAR-GAMBAR OLEH JAMES KON

    Acara itu turut menampilkan lebih 150 orang penceramah daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi kesihatan serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Kejayaan Pameran dan Persidangan Antarabangsa NCD 2025, mencerminkan kerjasama erat antara penganjur, rakan kongsi dan penaja dalam memperkukuh kolaborasi kesihatan di Brunei dan peringkat antarabangsa.

    Ia juga menegaskan komitmen negara untuk terus memperkukuh perkongsian rentas sektor dalam menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit.

    Pihak penganjur turut menyatakan hasrat supaya Pameran dan Persidangan Antarabangsa NCD dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform tahunan bagi perkongsian ilmu, pembinaan kerjasama dan galakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

    Orang awam digalakkan untuk terus menyokong usaha nasional dalam pencegahan penyakit tidak berjangkit dengan mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala serta sentiasa peka terhadap kepentingan pengesanan awal.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda