Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan promosi inklusiviti, keharmonian, perpaduan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Tujuh orang ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) berlepas ke Singapura hari ini bagi menghadiri Persidangan Youths For Inclusion Starts With You And I, yang akan berlangsung hingga 24 Disember.

    Persidangan yang dihoskan oleh Girl Guides Singapore (GGS) itu disertai oleh sembilan buah negara Asia Pasifik termasuk Negara Brunei Darussalam.

    Rombongan negara diketuai oleh Pemimpin Unit Pemimpin Muda, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Dayang Mariam binti Haji Abdul Rahman dan turut disertai oleh enam orang ahli pemimpin muda dari Unit Pemimpin Muda UNISSA.

    Pemimpin-pemimpin muda berkenaan ialah Dayang Nurain Syafiqah binti Haji Harith, Dayang Nur Badzlin binti Haizzil Bahrin, Dayang Siti Nur Arinah binti Saiful Azmi, Dayang Nur Hanaa Fauzana binti Haji Asmalee, Hajah Khainur Batrisyia binti Haji Khairuddin dan Dayang Asma Faredatul Jawahir @ Dania binti Rosli.

    Dalam temu bual ringkas, Dayang Asma Faredatul Jawahir @ Dania menyatakan harapan dengan penyertaannya dalam persidangan itu, akan dapat memberikan sumbangan kepada persatuan pandu puteri di UNISSA dan kepada masyarakat di negara ini.

    Beliau mengongsikan, persidangan itu nanti akan mempromosikan inklusiviti antara masyarakat dengan orang berkeperluan khas.

    Antara lain objektif persidangan itu adalah untuk mengembangkan dan mengasah potensi Pemimpin Muda Pandu Puteri dan Pengakap Puteri sebagai advokat untuk inklusiviti, keharmonian dan perpaduan.

    Di samping itu, untuk mempromosikan pembelajaran dan kolaborasi antara budaya untuk menggalakkan jalinan hubungan yang akrab antara ahli-ahli muda.

    Antara pengisian persidangan ialah pelbagai sesi bengkel dan perbincangan berkaitan kebudayaan dan inklusiviti, sukan dan aktiviti paralimpik dan aktiviti perkongsian bersama ahli-ahli GGS.

    Dengan penyertaan persatuan negara di persidangan itu, ia diharap akan dapat membantu dalam meningkatkan kepimpinan, kualiti, potensi dan kapasiti ahli-ahli PPPDB serta memperbaharui dan mempelbagaikan program persatuan yang sedia ada untuk lebih menarik minat golongan perempuan daripada peringkat kanak-kanak hingga wanita muda dan dewasa untuk menyertai persatuan berkenaan.

    Gambar ramai rombongan berkenaan semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda