Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Persidangan promosi literasi digital dalam pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman telah menghadiri Persidangan ASEAN-UNICEF mengenai Transformasi Digital bagi Sistem Pendidikan di ASEAN yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan dan Latihan Vietnam, UNICEF dan Sekretariat ASEAN secara dalam talian.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, turut hadir dalam persidangan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.

    Kenyataan menyatakan bahawa persidangan berkenaan telah dirasmikan bersama oleh Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, Tuan Yang Terutama Dr Pung Xuan Nha; Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi dan Pengarah Serantau UNICEF, Karin Hulsof.

    Persidangan itu antara lain bertujuan untuk menyedari keperluan yang meningkat dalam mempromosikan literasi digital dan kemahiran yang boleh dipindahkan (transferable skills) ke seluruh sistem pendidikan ASEAN serta berkongsi amalan baik dan mengenal pasti cabaran dalam bidang berkenaan.

    Persidangan itu turut merangkumi tiga sesi perkongsian menteri di mana Yang Berhormat Dato berpeluang untuk mengongsi mengenai inisiatif yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam ke arah pendidikan digital.

    Ini termasuklah fokus kementerian terhadap pembangunan kapasiti guru dan pemimpin sekolah dalam bidang digital, kemahiran digital bagi pelajar serta akses kepada pembelajaran digital yang saksama.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menghadiri persidangan secara dalam talian tersebut. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda